MIC gesa kerajaan kembalikan semula Pelan Pembangunan India Malaysia


Ravin Palanisamy

MIB adalah program penting bagi kaum India kerana ia melibatkan dasar dan keputusan utama untuk masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

PUTRAJAYA perlu mewujudkan semula Pelan Pembangunan India Malaysia (MIB) yang akan membantu dan meningkatkan taraf hidup serta kemajuan masyarakat, desak Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran.

Rangka tindakan itu yang diperkenalkan di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum 2017 telah ditangguhkan selepas kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya 2018.

Sivarraaajh berkata bahawa MIB adalah program penting bagi kaum India Malaysia kerana ia melibatkan dasar dan keputusan utama untuk masyarakat.

Beliau berkata rangka tindakan tersebut telah menangani beberapa masalah utama yang dikenal pasti dalam kalangan masyarakat.

“Untuk MIB, kami mengenal pasti 36 masalah dalam komuniti kami dan mencadangkan penyelesaian untuk membuat perubahan dasar yang perlu dan penting.

“Dasar sangat penting kerana yang dilakukan, kerajaan mesti komited untuk melaksanakannya. Tetapi sekarang, tiada yang membincnagkan tentang dasar untuk kaum India.

“Jika ada yang serius untuk mendapatkan undi kaum India, maka MIB perlu dikembalikan. Malah kerajaan sekarang juga boleh melakukannya,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara eksklusif.

Program MIB selama 10 tahun itu merupakan cetusan idea bekas perdana menteri Najib Razak.

Matlamat program ini adalah untuk membantu masyarakat India untuk meningkatkan pendapatan dan tahap pendidikan ahlinya, membuka peluang perniagaan, membantu lebih banyak pekerjaan untuk mereka dalam kerajaan, menyelesaikan masalah melibatkan kewarganegaraan dalam kalangan kaum India yang miskin, mengenal potensi setiap anak-anak kaum India dan menangani masalah sosial lain dalam komuniti.

Hampir 2 juta penduduk kaum India di Malaysia merangkumi 7% daripada 32 juta penduduk.

MIB melibatkan pembiayaan dana RM500 juta daripada Permodalan Nasional Bhd.

Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran berkata MIB berjaya menangani beberapa masalah utama yang dikenal pasti dalam kalangan masyarakat India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

Pada Ogos 2018, di bawah kerajaan PH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy memberitahu Dewan Negara bahawa MIB sedang dikaji.

Sivarraajh berkata sekiranya Najib terus berkuasa untuk penggal lain, MIB akan terus wujud dalam mengangkat masyarakat India.

“Ya. Sekiranya dia menang dan jika BN terus berkuasa, dalam istilah lain, MIB dapat dicapai dan orang India akan mendapat keuntungan,” katanya.

Sivarraajh terus memuji bekas perdana menteri itu dengan mengatakan bahawa Najib adalah perdana menteri terbaik bagi masyarakat India.

Mengetepikan skandalnya, bekas ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata Najib melakukan banyak usaha untuk mengubah mata pencarian dan masa depan masyarakat.

“Beliau melayani orang India dengan baik dan memberi banyak peluang untuk mereka.

“Pada masa sama dari segi dasar, beliau berusaha mengubah banyak perkara untuk memberi manfaat kepada orang India.

“Jadi kecuali semua skandal 1MDB, beliau adalah perdana menteri yang sangat baik bagi orang India, yang sangat sukar ditemui hari ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa tidak ada perdana menteri sebelum ini yang melakukan sebanyak yang dilakukan oleh masyarakat India.

“Beliau adalah pemimpin yang sangat positif. Jika kita ada perdana menteri dengan pemikiran Najib, ia baik untuk masyarakat kita.

“(Kerana) perdana menteri lain tidak seperti apa yang dilakukan oleh Najib,” katanya. – 4 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen