Isteri pastor hilang terus mencari jawapan 


Noel Achariam

Susanna Liew yang merupakan isteri kepada Pastor Raymond Koh akan terus mencari jawapan berhubung kehilangannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2021.

KETIKA penganut Kristian meraikan sambutan Easter hari ini, Susanna Liew yang merupakan isteri kepada Pastor Raymond Koh masih terus mencari jawapan berhubung kehilangan suaminya itu. 

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, ini merupakan tahun kelima keluarga beliau meraikan sambutan Easter tanpanya.

Liew berharap keluarganya akan mendapat jawapan daripada pasukan khas yang ditubuh bagi menyiasat kehilangan Koh dan juga aktivis Perlis Amri Che Mat. 

“Sekiranya pasukan berkenaan sudah melengkapkan siasatan, hasilnya perlu didedhkan kepada umum. Kami kecewa kerana ia (laporan) masih belum keluar. Kami masih menunggunya.”

Koh diculik oleh sekumpulan individu bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Februari, 2017.

Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kehilangan Koh dan aktivis Perlis Amri Che Mat yang dilaporkan hilang pada 24 November selepas meninggalkan kediamannya di Kangar, Perlis.

Kumpulan berkenaan diberikan enam bulan, bermula Jun 2019 untuk menjalankan tugas dan melaporkan hasilnya namun hingga kini belum ada maklum balas daripada kementerian. 

Jumaat lalu, Kumpulan Tindakan Rakyat terhadap Penculikan (Caged) berkata Putrajaya perlu dedahkan hasil siasatan pasukan khas berkenaan.

Menurut mereka pihak berkuasa perlu secara umum memperbetulkan perkara yang salah dalam pencarian mereka terhadap dua individu berkenaan. 

Caged mempersoalkan apa tindakan yang diambil oleh kerajaan dan polis sebagai maklum balas kepada hasil siasatan pasukan khas berkenaan.

Menurut mereka Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet perlu mendedahkan laporan pasukan khas berkenaan.

Liew turut mempersoalkan mengapa pihak berkuasa berdiam diri mengenai laporan yang sepatutnya sudah selesai. 

“Pasukan khas (pada 2019) diberi masa enam bulan untuk lengkapkan laporan. Apa yang menghalang mereka?

“Mereka perlu lebih bertanggungjawab kepada masyarakat umum.”

Tambahnya hasil dapatan itu perlu didedahkan seceoat mungkin kerana ia terlalu lama tertangguh. 

Sudah dua tahun sejak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai peranan dalam kehilangan Amri dan Koh.

Ketika itu, menteri dalam negeri adalah Muhyiddin dan perdana menteri ketika itu adalah Dr Mahathir Mohamad, dan mereka berjanji akan bertindak berhubung kesimpulan yang dibuat oleh Suhakam.

Caged berkata Muhyiddin menubuhkan pasukan khas pada 2019 untuk menyiasat hasil dapatan Suhakam. 

Mereka juga berkata pasukan berkenaan dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi Rahim Uda, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. 

“Berdasarkan satu laporan berita, kami merasakan ia sudah selesai menjalankan tugas dan laporannya dihantar kepda Muhyiddin pada Januari 2020.”

Suhakam turut menyiasat kehilangan Koh dan Amri. 

Siasatan awam dijalankan oleh Suhakam membuat kesimpulan bahawa kedua-dua mereka diculik oleh Cawangan Khas dari ibu pejabat polis. – 4 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen