Bahasa propaganda politik Melayu


Wan Hamidi Hamid

“KATA-KATA bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya. Sejak merdeka, perdana menteri semuanya Melayu, timbalan perdana menteri semuanya Melayu, menteri dalam negeri semuanya Melayu, malah menteri besar kebanyakannya Melayu. Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu.”

Itulah yang disuarakan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said lebih tiga tahun lalu apabila berdepan dengan dakwaan pimpinan Umno dan sekutu-sekutunya bahawa kuasa Melayu terancam apabila berhadapan dengan pembangkang.

Itulah juga yang dimaksudkan sebagai bahasa propaganda politik Melayu yang berjaya mengikat tangan orang Melayu agar sentiasa mengundi Umno-Barisan Nasional sejak zaman berzaman.

Itulah sebenarnya politik takut. Bagi Umno dan para sekutunya, menakutkan orang Melayu merupakan satu-satunya senjata ampuh untuk mengekalkan kuasa.

Ketakutan itu tidak ada kena-mengena dengan kepandaian, kecerdikan atau kebijaksanaan seseorang. Ia semata-mata kekuatan sentimen takut “hilang kuasa”, “musnah bangsa” dan “hancur negara”.

Ketakutan itu sebenarnya manipulasi emosi untuk membolehkan Umno-BN sentiasa mendapat undi Melayu, daripada mereka yang gagal menghabiskan SPM sehinggalah kepada pemegang ijazah PhD. Ia tidak mengira latarbelakang akademik.

Empat frasa yang menjadi bahasa propaganda utama tersebut adalah:

Perpecahan orang Melayu

Maksudnya orang Melayu wajib menolak parti-parti lain seperti PKR, Bersatu, Amanah, PAS atau mana-mana parti majoriti keahlian Melayu lain. “Perpecahan” ini dianggap boleh melemahkan Umno sebagai kuasa utama Melayu.

Mengkritik elit Umno, terutama yang berada di tampuk kuasa, dianggap sebagai punca perpecahan orang Melayu.

Perpaduan orang Melayu

Maksudnya orang Melayu hanya dianggap benar-benar bersatu-padu jika berpayung di bawah kuasa Umno. Untuk memastikan perpaduan orang Melayu, parti-parti yang melawan Umno perlu ditentang habis-habisan. Dengan itu, logik mereka adalah Dr Mahathir Mohamad yang suatu ketika dahulu disanjung, dipuji dan dipuja oleh Umno kini wajib dilawan oleh orang Melayu.

Ketuanan Melayu

Maksudnya apabila orang Melayu bersatu-padu, ia dapat mewujudkan Ketuanan Melayu di mana elit Melayu menguasai sepenuhnya pentadbiran negara – asalkan Melayu itu Umno. Sama ada golongan petani, peniaga kecil dan pekerja Melayu sama-sama menikmati hasil kekuasaan itu belum dapat dipastikan lagi.

Ancaman musuh Melayu

Untuk menyatupadukan serta memastikan Ketuanan Melayu, naratif seterusnya adalah mencipta musuh. Dengan adanya musuh, sama ada yang halimunan atau yang direka-cipta, mudah bagi elit Umno memastikan orang Melayu mengangkat mereka sebagai benteng pertahanan kaum. Oleh itu sentiasa kedengaran “agenda dan ancaman” terhadap orang Melayu daripada Yahudi, Israel, Kristian, Hindu, Cina (tetapi bukan China), liberal, Syiah, Wahabi, LGBT, sekular, plural, singular, buku, Despacito, dan entah apa-apa lagi.

Memang ada lagi frasa lain untuk menakutkan pengundi Melayu, namun biasanya yang diulang-ulang adalah empat kata-kata ini kerana ia terbukti berjaya menakutkan sebilangan orang Melayu.

Persoalannya, mengapa masih ramai orang Melayu percaya dengan propaganda ini?

Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Julai, 2017 mendedahkan 68.8% daripada 32 juta orang penduduk negara adalah Melayu (dan Bumiputera Sabah dan Sarawak). Kaum Cina semakin kurang jumlahnya, iaitu mewakili 23.2% diikuti India 7% dan lain-lain 1%.

Ini bererti majoriti besar daripada hampir 70% kaum Bumiputera itu adalah Melayu. Dalam arena politik negara, kaum masih menjadi penentu. Ini dapat dilihat melalui dua koalisi utama, iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH).

BN dikuasai Umno yang menjadi abang besar kepada 12 parti komponen lain yang mewakili kaum minoriti. Gabungan mereka berasaskan politik kaum dengan agenda konservatif.

PH pula gabungan empat parti yang setara tarafnya, iaitu PKR, Amanah, Bersatu dan DAP. Ia koalisi yang menggabungkan idea progresif dan konservatif yang sedikit-sebanyak berteraskan kaum, walaupun bukan menjadi penentu dominan.

Tiga parti PH, iaitu PKR dan Amanah didominasi Melayu manakala Bersatu sememangnya parti orang Melayu, dan hanya DAP majoritinya bukan-Melayu serta berideologi sosial demokrasi.

Dengan keadaan itu, kerajaan baru yang ditubuhkan oleh PH sudah tentu tidak akan menjejaskan hak sah orang Melayu dan kaum lain kerana ia tetap berteraskan realiti politik serta Perlembagaan Persekutuan.

Reformasi PH hanya bertujuan membersihkan pentadbiran negara daripada gejala rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran. Malah, ia berhasrat mengurangkan pemusatan kuasa elit politik untuk memastikan hak dan ruang kebebasan dinikmati rakyat.

Biasanya usaha ini dipanggil demokrasi. Demokrasi bukan saja membolehkan rakyat mengubah kerajaan, ia juga memastikan para politikus tunduk kepada keperluan rakyat, asalkan rakyat tidak membenarkan kerajaan baru menjadi elit politik yang baharu.

Sama ada kita Melayu atau sesiapa saja, asalkan warga Malaysia, kita senasib jika membiarkan pemerintah bertindak sesuka-hati tanpa batas keadilan, hak asasi dan demokrasi. – 5 Disember, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kita kini dapat lihat ciptaan musuh suatu perangai buruk dan tidak islamik. Maka melalui ciptaan musuh akhirnya cederakan sendiri.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Saya tak takut bangsa melayu terpinggir tp takut agama iskam dipandang hina kerana dari apa yang trerpancar kebanyakkan pemimpin PH meletakkan akal.lebih dari agama dan seperti malu untuk mengaku

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • Melayu srbenar nya sedang di.kikis dengan rakus oleh puak kapitalis yang tahu melayu dahagakan wang bagi melampiaskan nafsu masing2 rerutama dari bani.politik. ini secara tidak langsung akan.mengikus sifatvsayang agama dan ini diambkl jesempatan.oleh puak.politik jtk mrnjarakkan.lg org melsyu dari agama mereka.. jika ugama dapat dipiksahkan dr mereka dengan senang minda daoat di.kawal..

    itu lah yang di.bimbangi kerana sudah munuil spesis2 yang menyokong lgbt dan segala mcm ysng menyanggahi islam.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan