SERAMAI 18 anak muda hari ini memfailkan tindakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk mendesak pelaksanaan usia baharu pengundian menjelang Julai dan bukannya tahun depan.
Mereka menamakan perdana menteri, kerajaan pusat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.
Tindakan mereka difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.
Jumlah 18 pemohon secara simbolik menggambarkan gerakan Undi18.
“Kami memfailkan saman hanya 10 minit sebelum sidang media bermula kira-kira pukul 11.15 pagi dan kami mahu tindakan segera diambil,” kata peguam New Sin Yew.
New berkata tindakan itu mewakili kira-kira 1.2 juta beliau berusia 18 hingga 20 tahun di Malaysia.
Di antara 18 pemohon itu ialah Nurul Rifayah, 18, aktivis pelajar yang terlibat dengan gerakan itu sejak dua tahun lalu dan Rifqi Faisal dari Sarawak, 18, yang mempelopori Gerakan MYER yang menganjurkan reformasi pendidikan.
Menurut tindakan mereka, pemohon berkata tindakan kerajaan menangguhkan penurunan usia pengundi dari 21 hingga 18 tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan terhadap hak pengundi.
Perkara lain yang dituntut adalah pengisytiharan mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun mempunyai hak secara sah untuk mengundi pada Julai.
Mereka juga ingin memperoleh perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menunda penurunan usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh pada 25 Mac lalu berkata pelaksanaan Undi18, merendahkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik ditangguhkan sehingga 1 September tahun depan.
Persediaan ke arah pelaksanaan itu masih dijalankan tetapi terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, katanya. – 2 April, 2021.
Komen