Undi18 kumpul dana bantu aktivis


Hailey Chung Wee Kye

Gerakan Undi18 melancarkan kempen mengumpul dana bagi menampung kos tindakan undang-undang yang dihadapi oleh aktivis mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 2 April, 2021.

GERAKAN anak muda Undi18 melancarkan kutipan dana bagi menampung kos tindakan undang-undang yang dihadapi oleh aktivis mereka daripada kerajaan.

Kempen #ManaUndiKami merangkumi penjualan amal T-shirt dengan harga RM40 sehelai.

Tempahan boleh dibuat melalui bit.ly/bajumuk.

“Kami berharap dapat mengumpulkan sekitar RM10,000 untuk menampung bayaran guaman dan juga perbelanjaan logistik,” kata pengasas bersama Undi18, Nur Qyira Yusri.

“Pada masa ini, peguam kami New Sin Yew daripada AmerBON, Advocates and Lim Wei Jiet membantu kami secara pro bono.”

Undi18 mengadakan sidang media hari ini di Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (KLSCAH) selepas mengemukakan saman kepada kerajaan untuk memaksanya Memperkenalkan akta penurunan usia pengundi kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran pemilih automatik pada Julai, seperti yang dirancang sejak awal.

Pengasas bersama Undi18, Tharmai Pillai berkata perjuangan itu bukannya skandal politik remeh.

“Ini mengenai gaji minimum, tentang memiliki rumah dengan harga berpatutan, mengenai dasar pembangunan, mengenai kemampuan hidup dengan bermaruah.

“Anak muda Malaysia mempunyai hak memilih pemimpin yang mewakili visi mereka untuk Malaysia yang lebih baik. Benarkan mereka mengundi,” katanya.

Kira-kira 300 anak muda berkumpul di luar Parlimen pada Sabtu dan melakukan protes aman dengan berdiam diri selama 18 minit secara simbolik untuk memprotes penangguhan itu.

Walaupun RUU ini sudah diluluskan oleh kedua dewan Parlimen, undang-undang lain yang berkaitan dengan pilihan raya belum diubah untuk memungkinkan pendaftaran pemilih berusia 18 tahun secara automatik kerana Parlimen ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat. – 2 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen