Lanjutan PKPB, larangan rentas negeri beri impak kecil, kata pakar


Angie Tan

Keadaan mulai bertambah baik apabila pengguna sudah pun kembali berbelanja, walaupun sektor perjalanan dan pelancongan masih paling teruk terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2021.

LANJUTAN penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri, dengan larangan rentas negeri berterusan, kurang memberi kesan buruk terhadap perniagaan pada masa ini kerana kebanyakan aktiviti sudah dibenarkan, kata pakar ekonomi.

Keadaan mulai bertambah baik apabila pengguna sudah pun kembali berbelanja, walaupun sektor perjalanan dan pelancongan masih paling teruk terjejas, kata mereka.

Kesan daripada larangan perjalanan rentas negeri juga akan bergantung kepada bagaimana keputusan pihak berkuasa untuk meluluskan permohonan bagi perjalanan itu, kata ketua strategi di Phillip Research Sdn Bhd Phua Lee Kerk.

“Berapa banyak aktiviti ekonomi diluluskan untuk perjalanan rentas negeri, dan berapa banyak pula tidak dibenarkan, ini faktor utama,” katanya kepada  The Malaysian Insight.

Sebagai contoh tentang perjalanan rentas negeri membantu ekonomi, terutama sektor pelancongan dan perhotelan, beliau memberi ilustrasi bagaimana seorang pekerja dari satu negeri pergi ke negeri lain atas alasan kerja, akan memacu ekonomi tempatan dengan makan di luar dan menempah penginapan di hotel.

“Kalau tidak, hotel kecil akan berdepan kesukaran untuk bertahan.

“Aktiviti ekonomi lain yang bergantung kepada perjalanan akan menerima kesan negative kerana tidak ada orang datang untuk berbelanja.”

Phua percaya larangan perjalanan rentas negeri paling menjejaskan industri pelancongan.

Larangan itu dan PKPB dilanjutkan hingga 14 April bagi Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dna Kelantan. Di Sarawak, PKPB dilanjutkan hingga 12 April.

Lanjutan itu dilakukan susulan angka jangkitan kes baharu Covid-19 mulai menurun, di bawah 1,000 iaitu 941 kes pada 29 Mac, kali pertama sejak awal Disember.

Bagi Januari dan Februari, kes baharu harian berada pada 2,000 hingga 3,000 kes jangkitan, mencecah lebih 5,000 sekitar hujung Januari.

Kesan kecil

Profesor Madya Ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman Wong Chin Yoong mempunyai pandangan berbeza tentang sama ada sekatan perjalanan rentas negeri akan memberi kesan buruk kepada ekonomi.

Beliau berkata ada sedikit industri yang terjejas teruk akibat sekatan pergerakan pada peringkat ini, kerana kebanyakannya sudah pun kembali semula beroperasi.

Kuala Lumpur dan beberapa bandar lain sudah mulai sibuk aktiviti orang ramai dengan cara normal baharu seperti pemakaian topeng pelitup muka dan penjarakan sosial, katanya.

“Pusat beli-belah dan restoran penuh dengan orang. Setiap orang sudah terbiasa hidup dengan prosedur operasi standard (SOP).

“Jadi saya fikir tahap kesan daripada lanjutan PKPB akan jadi kecil.

“Tetapi untuk tahu kesan sebenar, kita perlu tunggu angka keluaran dalam negeri kasar (KDNK) bagi suku pertama pada April.”

Wong berkata pemulihan ekonomi sedang mulai berlaku di beberapa negara.

“Pertubuhan ekonomi China bagi suku pertama hampir pasti akan sangat kuat. Sektor pembuatan dan bukan pembuatan, berjalan dengan baik.

“Keadaan sama di Amerika Syarikat. Ekonomi dijangka kembali baik tahun ini, ia termasuk juga kerana pelan pemulihan ekonomi bernilai RM7.87 trilion.

“Maka, saya percaya pemulihan ekonomi domestik dan luar negara tidak akan terjejas akibat daripada lanjutan larangan rentas negeri,” kata Wong.

Paling awal, rentas negeri akan dibenarkan mungkin ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei, tetapi kebenaran itu masih dalam pertimbangan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – 2 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen