HAMPIR 400 salun kecantikan ditutup dan kira-kira 2,000 jurusolek menganggur sepanjang pandemik Covid-19, kata Presiden Dewan Perniagaan Kosmetologi Malaysia (PAMM) Alvin Loh.
Angka berkenaan mungkin lebih banyak kerana statistik yang tepat sukar diperoleh, tambah Loh.
“Orang ramai gembira ketika buka kedai, tetapi mereka takut untuk memaklumkan apabila mereka terpaksa menutupnya. Kami mengetahuinya selepas bercakap dengan beberapa pembekal produk kecantikan.
“Bilangan 2,000 orang yang hilang kerja ini juga termasuk dari salon yang terpaksa mengurangkan jumlah kakitangan dari kira-kira enam kepada tiga atau empat sahaja bagi sebuah kedai,” kata Loh kepada The Malaysian Insight.
Dianggarkan kira-kira 10,400 salun kecantikan di seluruh Malaysia dan industri kecantikan menghasilkan kira-kira RM5 bilion setiap tahun, tambahnya.
Namun, terdapat berita baik untuk industri ketika mereka melihat peningkatan dan pemulihan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan.
“Walaupun 30% pelanggan senang membeli produk penjagaan kulit dan kosmetik melalui platform dalam talian, statistik menunjukkan 70% masih memilih kedai,” katanya.
PAMM mempunyai kira-kira 250 syarikat kecantikan yang mendaftar sebagai ahli dan 3,000 lagi individu yang bekerja di dalam bidang kecantikan.
Loh berkata ahli persatuan melaporkan pasaran luar talian untuk industri kecantikan masih relevan.
“Ahli juga menyaksikan jualan meningkat apabila kedai fizikal dibenarkan dibuka semula.”
Bagi perkhidmatan kecantikan seperti salun kuku dan rawatan wajah, 50% pelanggan menunjukkan keinginan untuk kembali membuat janji temu.
“Kira-kira 30% berhati-hati terhadap pendedahan Covid-19 dan 20% mengurangkan perbelanjaan kecantikan selepas terjejas dengan pendapatan yang sedikit,” kata Loh.
“Ramai pelanggan masih ingin mencuba produk dan mengetahui teksturnya. Mereka juga suka pergi ke salun kecantikan untuk berehat.
“Orang mungkin boleh melakukan rawatan muka yang ringkas di rumah, tetapi tidak bagi merias dan merawat kuku. Trend rawatan kecantikan lakukan sendiri di rumah masih sedikit.”
Loh berkata pemain industri kecantikan pada awalnya panik dan tergesa-gesa bertukar menjual pembersih tangan semasa pelaksanaan PKP pertama pada Mac lalu.
“Tetapi selepas PKP, mereka sedar masih ada pelanggan untuk pasaran kecantikan, sedangkan pelanggan tidak setia terhadap produk pembersih tangan.
“Pelanggan sangat mempertimbangkan harga produk pembersih tangan kerana ia adalah produk kegunaan harian.”
Secara keseluruhan, Loh percaya industri kecantikan masih mempunyai potensi besar.
“Penurunan akibat pandemik hanya untuk jangka pendek. Kami cukup yakin prospek lebih baik pada separuh kedua 2021,” katanya.
Tidak ramai bersolek
Dr Wong Chin Chin, penganalisis Malaysia daripada Kantar Group, sebuah syarikat penyelidikan pasaran antarabangsa, berkata kategori kosmetik paling banyak terkesan di antara semua barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG) di Malaysia.
“Pembelian barang keperluan rumah untuk produk kosmetik berdepan penurunan 30%. Alat solek untuk bibir dan wajah menurun sebanyak -32% (perbelanjaan tahun ke tahun), sementara solekan mata menurun sebanyak -20% (perbelanjaan tahun ke tahun).
“Kami membuat hipotesis yang solekan mata lebih penting berbanding bibir dan wajah, yang ditutupi pelitup muka ketika keluar.”
Bagi kategori penjagaan kulit, “mask” kecantikan sangat popular di kalangan pembeli semasa musim pandemik, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Semasa pra-PKP, terdapat pembelian mask kecantikan oleh 159,000 isi rumah. Sepanjang PKP, mask memperoleh 35,000 pembeli. Dan semasa PKP pemulihan, ia bertambah 35,000 lagi isi rumah.”
Beliau menambah banyak jenama turut mula mengeluarkan pembersih tangan dan sabun tangan.
“Sabun tangan meningkat 89% ketika kita menyesuaikan diri dengan norma baharu.”
Menurut penyelidikan Kantar, 50% pembeli sabun tangan pada 2020 tidak membeli sebarang sabun tangan pada 2019.
Enthel Tan, 28, bekerja sebagai perunding pengurusan berkata beliau kurang perbelanjaan kos soleknya sejak wabak berkurangan.
“Saya kurang bersolek kerana arahan tinggal di rumah. Walaupun saya memakai alat solek, saya tidak perlu bersolek lengkap, hanya pelindung matahari dan concealer.”
Beliau berkata ramai rakannya juga mempunyai sentimen yang sama.
“Kami lebih relaks dengan penampilan. Saya rasa kita mulai menerima wajah tanpa solekan berbanding sebelum zaman Covid-19.”
Seorang pengguna kecantikan lain, Chang Jean Lee berkata beliau juga kurang berbelanja.
Artis sambilan berusia 29 tahun itu beralih kepada tutorial dan topik penjagaan kulit di media sosial semasa PKP.
“Ramai pakar dermatologi mula berkongsi produk mereka dan memberi pendidikan di TikTok.
“Saya sangka perlu melabur dalam produk penjagaan kulit yang mahal tetapi berdasarkan video yang ditonton, saya belajar untuk lebih berorientasikan bahan kandunan berbanding harga,” katanya. – 2 April, 2021.
Komen