Jangan ambil tindakan terhadap penunjuk perasaan Undi18, kata Guan Eng


Pihak polis sepatutnya beri tumpuan kepada skandal kartel polis yang lebih berbahaya dan mengancam ketenteraman dan keselamatan awam berbanding protes aman Undi18. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2021.

PIHAK polis ada perkara lebih penting yang perlu diuruskan daripada menyiasat tunjuk perasaan secara aman berhubung penangguhan pelaksanaan Undi18, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, polis perlu menghentikan siasatan seperti itu dan tidak menyusahkan penunjuk perasaan secara aman yang ingin menegakkan Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada protes minggu lalu di luar Parlimen berhubung penangguhan kebenaran remaja berusia 18 tahun mengundi dan pendaftaran pemilih automatik.

“Polis sepatutnya memberi lebih masa, sumber dan usaha untuk mengesan ke akar umbi skandal kartel pegawai polis yang rasuah dalam senarai sindiket jenayah, termasuk bekas ketua polis negara,” katanya dalam satu kenyataan .

Lim berkata kartel polis lebih berbahaya dan ancaman lebih besar terhadap ketenteraman dan keselamatan awam, berbanding perhimpunan aman.

Kira-kira 300 pemuda berkumpul di luar Parlimen pada 27 Mac dan berdiam diri selama 18 minit secara simbolik kerana memprotes kelewatan menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik kepada 1 September tahun depan.

Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan diluluskan kedua-dua Dewan Parlimen pada 2019, dan dijadualkan dilaksana pada Julai tahun ini.

Polis dijangka memanggil 11 peserta perhimpunan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum perhimpunan dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Lim berkata memandangkan pilihan raya umum dijangka diadakan sebelum September 2022, ini akan melucutkan hak undi sekurang-kurangnya 1.2 juta pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

“Apatah lagi, tiada tempat bagi mereka yang melakukan protes untuk meminta ahli Parlimen mereka untuk menyuarakan rungutan dan ketidakpuasan mereka, selepas penggantungan Parlimen yang tidak wajar oleh Perdana Menteri (MuhiyiddinYassin).”

Beberapa ahli politik pembangkang turut menghadiri tunjuk perasaan itu, dan yang dipanggil oleh polis adalah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ketua Pemuda DAP Howard Lee dan Adun Ketari, Young Syefura Othman. – 1 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen