Hanya pemimpin pusat bincang kerjasama PAS dan Umno, tidak di Kelantan


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Nozula Mad Diah berkata Umno dan PAS di Kelantan tidak melaksanakan sebarang kerjasama kerana kedua-dua parti Melayu itu adalah musuh ketat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2018.

HUBUNGAN kerjasama yang wujud antara PAS dan Umno tidak melibatkan akar umbi di Kelantan sebaliknya ia dilaksanakan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti di peringkat pusat, kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Nozula Mad Diah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh itu berkata, Umno dan PAS di Kelantan tidak melaksanakan sebarang kerjasama kerana kedua-dua parti itu adalah musuh ketat.

“Apa yang kita buat itu adalah untuk membiarkan PAS berseorangan sebab kita takut ada orang lain lamar PAS untuk bekerjasama dengan mereka.

“Perbincangan mengenai kerjasama hanya dilakukan di peringkat nasional, di Kelantan tidak ada perbincangan secara rasmi, kita masih musuh ketat,” kata Nozula kepada The Malaysian Insight.

Hubungan baik di antara Umno dan PAS mula terserlah apabila kedua-dua parti itu bersama-sama berhimpun menyokong etnik Rohingya yang ditindas di wilayah Rakhine, di Myanmar di Stadium Mini Taman Tasik Titiwangsa tahun lalu.

Perhimpunan itu menyaksikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri Najib Razak bersama-sama di atas pentas membantah kekejaman kerajaan junta Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya.

Kedua-dua parti itu turut bersama-sama dalam himpunan di Putrajaya yang membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv, Israel ke Baitulmaqdis di Palestin.

Hadi bagaimanapun tidak menghadiri himpunan solidariti untuk Palestin itu sebaliknya hanya mewakilkan Ketua Pemuda PAS yang juga anaknya, Mohd Khalil Abdul Hadi.

Nozula berkata, adalah mustahil untuk Umno bekerjasama dengan PAS di Kelantan kerana akar umbi parti itu berdendam dengan PAS.

“Bila pusat kata ada kerjasama kita perlahan sedikit serang PAS, tapi kemudian kita tikam mereka balik,” katanya lagi. – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen