SERANGAN udara pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi membunuh puluhan pemberontak dan orang awam dalam tempoh 24 jam lalu di wilayah Hodeida, Yaman, kata sumber perubatan pada Khamis.
Pesawat pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi menjalankan sembilan serangan terhadap kedudukan pemberontak Huthi di daerah Laut Merah, kata sumber kepada AFP.
Serangan itu menyebabkan 36 pemberontak dan 12 orang awam terbunuh, menurut sumber di empat buah hospital di daerah berkenaan.
Pertempuran antara pemberontak yang disokong Iran dan kerajaan Presiden Abedrabbo Mansur yang disokong pakatan tentara Arab Saudi kian memuncak sejak beberapa minggu lalu, menyebabkan peningkatan angka korban dalam kalangan orang awam.
Minggu lalu, penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu ke Yaman Jamie McGoldrick berkata, serangan udara pakatan tentera itu pada 26 Disember itu menyebabkan 68 orang awam terbunuh di Hodeida dan wilayah Taez.
Pakatan terbabit menuduh McGoldrick berat sebelah terhadap pemberontak, namun tidak menafikan kematian orang awam.
Campur tangan sekutu tentera dalam menyokong kerajaan Hadi pada Mac 2015, selepas Huthi mengambil alih ibu negara Sanaa dan sebahagian besar negara itu.
Namun, walaupun kuasa ketenteraan pakatan itu lebih besar, pemberontak masih mengawal ibu negara dan sebahagian besar kawasan di utara.
Lebih 8,750 orang terbunuh sejak campur tangan pakatan berkenaan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP, 4 Januari, 2018.
Komen