Tiada lagi Muafakat selepas PAS ketepikan Umno?


Alfian Z.M. Tahir

Selepas enam dekad berseteru Umno dan PAS menjalin kerjasama pada 2019 di bawah Muafakat Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2021.

PIAGAM Muafakat Nasional (MN) yang ditandatangani oleh Umno dan PAS pada September 2019, hampir musnah setelah PAS memutuskan untuk memilih Bersatu berbanding Umno, kata penganalisis.

Mereka berkata bahasa kasar digunakan perwakilan semasa perhimpunan agung Umno (PAU), terutama sayap Pemuda dan Wanita pada hujung minggu lalu hanya menambah ketegangan antara parti Melayu terbesar di negara ini dan parti Islam itu.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali memberitahu The Malaysian Insight yang PAU baru-baru ini tidak membantu meredakan ketegangan antara Umno dan Bersatu.

“Banyak kenyataan dibuat oleh sayap Pemuda atau Wanita yang kasar terhadap PAS dan Bersatu. Malah Abdul Hadi Awang bergegas keluar selepas ucapan Ahmad Zahid Hamidi. Beliau jelas kelihatan tidak gembira.

“Dengan PAS sekarang memilih Bersatu berbanding Umno, MN akan runtuh. Ia hanya menunggu masa,” kata Mazlan.

Tujuan MN adalah untuk menyatukan orang Islam atau ummah bagi tujuan pilihan raya. Ia ditandatangani semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan persekutuan.

PAS dan Umno menandatangani perjanjian untuk bekerjasama di bawah MN pada 2019, yang akhirnya bakal diformalkan sebagai gabungan politik.

Semalam PAS berkata akan bersama Bersatu dan PN pada pilihan raya akan datang.

Kedua-dua parti mengumumkannya dalam satu kenyataan bersama selepas pertemuan antara pemimpin parti Muhyiddin Yassin dan Hadi semalam.

“Bersatu dan PAS akan terus bekerjasama dalam PN pada PRU15,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hassan daripada PAS.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Umno mendesak agar PAS memutuskan sama ada akan bersama sekutu MN atau Bersatu dalam gabungan kerajaan PN.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.

PAS mungkin kembali kepada Umno selepas Parlimen bubar

Prof Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata PAS meninggalkan Umno kerana parti Islam itu berasa lebih selesa bersama Bersatu.

Namun, Awang Azman berkata PAS sering mengubah pendirian agar bersesuaian dengan kepentingan pemimpin mereka.

“Bersatu adalah kerajaan. Itulah sebabnya mengapa PAS memilih Bersatu berbanding Umno tetapi selepas Parlimen dibubarkan, kemungkinan PAS kembali kepada Umno ada kerana ketika itu, Bersatu tidak lagi berkuasa,” kata Awang Azman.

James Chin dari Institut Asia University of Tasmania setuju dengan Awang Azman dan berkata apa sahaja boleh berlaku sebelum darurat berakhir pada Ogos.

“Terlalu awal untuk mengatakan MN akan runtuh kerana apa sahaja boleh berlaku sebelum Ogos. PAS hanya mahu kekal berkuasa dan mereka tidak keberatan menukar sekutu selagi mereka memegang kuasa.

“Mereka mungkin memerlukan Umno dalam pilihan raya kerana PAS tidak mempunyai jentera yang kuat di luar Kelantan dan Terengganu,” kata Chin.

Awang Azman seterusnya berkata peluang PAS memenangi pilihan raya dengan menjadikan Umno sebagai rakan mereka lebih tinggi berbanding Bersatu.

“PAS lebih baik bersama Umno jika mahu memenangi lebih banyak kerusi tetapi untuk masa sekarang, mereka lebih baik bersama Bersatu kerana parti itu mempunyai kuasa dan kedudukan.”

Bagaimanapun, Chin menambah jika PAS mahu kembali kepada Umno, tidak semua ahli Umno akan gembira kerana pendirian PAS yang tidak konsisten.

Sebaliknya, Mazlan berkata Umno akan dilihat sebagai pengkhianat perpaduan Melayu.

“Ini kerana Umno tidak memberi peluang kepada PAS. Amaran terakhir sama ada untuk bersama kita atau sebaliknya, tidak sesuai dengan parti Islam. Ia sangat tidak selesa selepas perhimpunan agung.

“Umno mungkin dilihat mengkhianati perpaduan Melayu kerana enggan menerima Bersatu,” kata Mazlan. – 1 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Prof Awang betul sekali! Lepas PR 15, PAS pasti merangkak menjilat Umno. Di mana ada uang dan jawatan, di situlah Pas berada!

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh RUDY HARTONO · Ulasan