Graduan dibayar gaji minimum pada 2020, kata Jabatan Perangkaan


Hailey Chung Wee Kye

Jumlah graduan yang memasuki alam pekerjaan tahun lalu juga merosot berbanding 2019, kata Jabatan Perangkaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2021.

GAJI permulaan bagi graduan menurun tahun lalu berbanding tahun sebelumnya susulan ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19, menurut Jabatan Perangkaan.

Jumlah graduan yang memasuki alam pekerjaan tahun lalu juga merosot, begitu juga kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan graduan muda, kata Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin. 

“Pendapatan bulanan bagi graduan baharu menurun, di mana majoriti memperoleh antara RM1,001 hingga RM1,500 pada 2020 berbanding RM2,001 hingga RM2,500 pada 2019.

“Pada masa sama, pendapatan bulanan graduan PhD dan Sarjana pada 2020 kekal antara RM5,001 hingga RM10,000. Manakala graduan diploma paling ramai menerima antara RM1,001 hingga RM1,500,” Uzir memberitahu The Malaysian Insight.

Gaji minimum di Malaysia adalah RM1,200 sebulan atau RM5.77 sejam. Jabatan Perangkaan ketika ini masih mengkaji kesan pandemik Covid-19 ke atas kadar gaji pekerja di negara ini.

Menurut Uzir, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam laporannya berkata pandemik Covid-19 tidak hanya menjejaskan ekonomi global tetapi juga gaji pekerja.

“Apabila kebanyakan yang hilang pekerjaan adalah mereka yang bergaji rendah, ini sekali gus menaikkan purata gaji pekerja lain.”

Tambahnya, berdasarkan data awal yang diperolehi, kira-kira dua pertiga (daripada 136 negara) di dunia mengalami pertumbuhan gaji yang perlahan pada separuh pertama 2020.

Dari segi jumlah siswazah pada 2020 pula, Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi mendedahkan angka menurun kepada 318,593 orang berbanding 346,686 pada 2019.

“Graduan Malaysia merangkumi 95.8% (305,301) pada 2020, iaitu merosot 7.6% berbanding 2019 (330,557),” kata Uzir.

“Kadar kebolehpasaran graduan yang merangkumi pekerjaan, melanjutkan pelajaran, peningkatan kemahiran dan menanti penempatan kerja adalah 84.4%”.

Manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) graduan pada 2020 naik kepada 83.9% berbanding 83.5% pada 2019, tambahnya.

“Bagaimanapun, jika dilihat kepada golongan berusia 24 tahun ke bawah, KPTB berada pada 64.8% pada 2020, berbanding 70.2% pada 2019.”

Kadar pengangguran lebih tinggi

Pakar ekonomi di institut pemikir Bait al-Amanah, Benedict Weerasena, berkata kadar kebolehpasaran graduan 84.4% masih tinggi walaupun menurun sedikit berbanding 86.2% pada 2019.

“Sebenarnya, kadar kebolehpasaran graduan pada 2020 lebih tinggi berbanding 2016 (77.3%), 2017 (79.1%) dan 2018 (80.2%).”

Bagaimanapun, kadar tersebut masih tidak dapat menangani masalah pengangguran akibat kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan juga perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan tahun lalu.

“Misalnya, berapa ramai graduan baharu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap atau jumlah masa bekerja mereka dikurangkan? 

“Berapa ramai graduan yang tiada pilihan selain memilih pekerjaan berkemahiran rendah atau bergaji rendah, yang langsung tidak padan dengan kelulusan mereka?” katanya.

Menurut Weerasena, pecahan julat gaji mengikut kelulusan graduan pada 2020 mengesahkan bahawa kadar pengangguran mungkin jauh lebih tinggi.

“Lebih ramai graduan ijazah pada 2020 tergolong dalam skala lebih rendah berbanding pada 2019.

“Misalnya, 53.6% peroleh gaji bawah RM2,000 pada 2020, berbanding 50.7% pada 2019. Juga, 35.2% mendapat gaji bawah RM1,500 pada 2020, iaitu lebih tinggi berbanding 32.6% pada 2019,” jelasnya. – 1 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen