Jumlah kenderaan masuk ke Kelantan meningkat 10%, kata polis


Pihak polis sentiasa membuat pemeriksaan serta sekatan jalan raya bagi memastikan semua kenderaan memiliki dokumen perjalanan sebelum dibenarkan masuk ke Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2021.

JUMLAH kenderaan yang memasuki Kelantan meningkat 10% dalam tempoh cuti persekolahan kali ini, kata ketua polis negeri Shafien Mamat.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemeriksaan serta sekatan jalan raya (SJR) bagi memastikan, kesemua mereka memiliki dokumen perjalanan sebelum dibenarkan masuk ke Kelantan.

Katanya sekiranya ada yang gagal mengemukakan dokumen itu, polis akan mengarahkan mereka untuk berpatah balik.

“Di musim cuti persekolahan kita dapati ada pertambahan kemasukan kenderaan perantau ke negeri ini sebanyak 10%.

“Apa yang penting semua yang pulang ke kampung halaman perlu mematuhi segala peraturan terutamanya membawa dokumen merentas negeri dan patuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas antara Mohamad Roy Suhaimi Sarif dengan Mohd Nasaruddin M Nasir, di Pasir Mas, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah.

Mengulas lanjut, Shafien turut mengingatkan perantau yang pulang dan menghadiri sebarang majlis kenduri, agar sentiasa menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.

“Apabila pergi ke kenduri dan sebagainya, patuhilah SOP seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Jika bergambar pun pastikanlah ada sedikit jarak yang sepatutnya. Semua ini adalah bagi mengurangkan penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Shafien berkata hasil pemantauan polis mendapati kepatuhan SOP dalam kalangan penduduk di Kelantan sudah melebihi 90%. – Bernama, 31 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen