PM akan timbang cadangan pinda Perlembagaan Persekutuan, kata Abang Johari


Desmond Davidson

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk menimbang permintaan Sarawak supaya meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi takrifan yang lebih baik mengenai kedudukan negeri itu dan Sabah sebagai rakan setara dengan Semenanjung, kata Abang Johari Openg.

Ketua menteri Sarawak itu berkata, Perkara 160 wajar dipinda bagi mewujudkan hubungan yang lebih baik antara negeri dengan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk melihat semula perkara ini dan meminda peruntukan ini,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di Kuching, hari ini.

Abang Johari mengulas kenyataannya ketika berucap di Lubok Antu semalam, yang menurutnya disalah lapor oleh Bernama.

Bernama semalam memetik Abang Johari berkata kerajaan negeri Sarawak akan membuat keputusan mengenai hubungan negeri itu dengan kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

“Saya bercakap tentang MA63 dan perdana menteri (setuju) akan meneliti Perlembagaan Persekutuan.

“Saya kata selepas ini satu keputusan mesti dibuat antara kerajaan negeri dan persekutuan berkenaan MA63.

“Berita yang saya baca pagi tadi nadanya lebih kepada politik,” jelasnya. 

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan kemukakan cadangan pindaan pada Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dengan Semenanjung Malaysia.

Sarawak menolak cadangan tersebut kerana dalam Perkara 160, “persekutuan” masih di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957.

Beliau menegaskan apa yang diminta oleh Sarawak adalah “persekutuan” bermaksud persekutuan yang ditubuhkan di bawah MA63. – 31 Mac, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen