Mozambique henti sewa rumah untuk pegawai tinggi kerajaan 


Menteri Kewangan Mozambique Adriano Maleiane menjangkakan langkah itu akan menghasilkan simpanan kira-kira 7.2 bilion meticais (kira-kira US$123 juta) pada 2018.– Gambar EPA, 4 Januari, 2018.

KERAJAAN Mozambique tidak lagi menyewa rumah untuk pegawai tingginya, sebaliknya memberikan elaun sewa rumah yang tidak melebihi 30 peratus daripada gaji pokok. 

Keputusan bertarikh 27 Disember 2017 itu telah diterbitkan dalam buletin rasmi kerajaan dan ia sebagai sebahagian langkah mengurangkan keistimewaan kepada pegawai kanan, sepertimana dijanjikan Menteri Kewangan Adriano Maleiane pada awal Disember lepas.

Maleiane menjangkakan langkah itu akan menghasilkan simpanan kira-kira 7.2 bilion meticais (kira-kira US$123 juta) pada 2018.

Kerajaan tidak mempunyai rumah yang cukup untuk menampung pegawai kanan dan menempatkan mereka di hotel atau menyewa kediaman dengan harga tinggi. 

Menerusi dikri baharu itu tidak akan membenarkan pegawai kanan terus tinggal di hotel bertaraf lima bintang.

Bagaimanapun, kerajaan mengakui tidak boleh mengeluarkan pegawai dari penginapan mereka secara serta-merta dan menjamin pembayaran sewa untuk tempoh maksimum setahun (iaitu untuk 2018) dan selepas itu para pegawai akan menerima elaun sewa rumah masing-masing. 

Menteri Ekonomi, Kewangan, Kerja Raya dan Perumahan menetapkan kadar siling sewa yang akan dibayar pada 2018 bagi setiap wilayah adalah tidak melebihi 120,000 metriks (sekitar US$2,044) sebulan.

Sewaan bangunan juga boleh dilaksanakan untuk tujuan menempatkan para pegawai tetapi keluasan tidak boleh melebihi 1,800 meter persegi. .

Dikri itu terpakai kepada kepada semua pegawai tinggi kerajaan termasik menteri, timbalan menteri, gabenor wilayah, naib canselor universiti awam, pejabat pertahanan dan keamanan peringkat tinggi, datuk bandar, pengerusi majlis perbandaran, pengurus kanan negara dan perusahaan awam, duta besar serta hakim. – Bernama, 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen