Muafakat, Perikatan mesti bersama atau Pakatan, DAP jadi kerajaan, kata ahli PAS


Diyana Ibrahim

Akar umbi PAS bimbang jika PH terutama DAP akan menang pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2021.

AKAR umbi PAS mahu parti Islam itu meneruskan kerjasama politik dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional kerana bimbang Pakatan Harapan, dan terutamanya DAP, akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun ahli-ahli PAS memberitahu The Malaysian Insight, sentimen itu umumnya hanya ada dalam kalangan golongan sedangkan golongan yang lebih berusia lebih sukar lagi menerima kerjasama dengan Umno kerana sejarah luka lama antara dua parti Melayu itu.

Mereka merujuk episod kafir-mengkafir yang pernah berlaku pada dekad 80-an, yang meninggalkan trauma yang masih dirasai sehingga ke hari ini pada sebahagian ahli PAS.

Ahmad Fahmi Mokhtar, 30, berkata ahli PAS yang muda sepertinya mahu pemimpin parti meneruskan kerjasama dengan dua gabungan MN dan PN.

“Kita nak dua-dua, PN dan MN, tak boleh berpecah… sebab ini penyatuan ummah kita tak nak Melayu berpecah. Tak boleh pimpinan PAS pilih salah satu. 

“Tukarlah nama gabungan apa pun tapi tiga parti ini (PAS, Umno dan Bersatu) kena ada sekali.

“Gabungan ini besar untuk orang Melayu dan satu lagi kalau bergabung kita akan dapat menang lagi banyak kerusi dalam pilihan raya terutama di peringkat pusat,” katanya.

PAS dan Umno membentuk gabungan kerjasama MN pada September 2019 ketika dua parti itu masih jadi pembangkang selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari tahun lepas, Muhyiddin Yassin menarik Bersatu keluar dari PH untuk membentuk gabungan kerajaan baharu bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak.

Bersatu dan PAS kemudian mendaftarkan PN sebagai parti politik pada awal Ogos 2020. Umno bagaimanapun bertegas tidak akan menyertai parti baharu itu malah memutuskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 nanti.

Menurut Ahmad Fahmi, sentimen pada ahli lama PAS cenderung lebih menerima Bersatu iaitu PN berbanding Umno atau MN.

“Bagi orang tua yang dalam usia 50-an ke atas memang mereka masih lagi menolak Umno biarpun ada MN tapi dengan PN mereka menyambut dengan baik mungkin kerana Bersatu ini tidak ada sejarah lama seperti Umno,” katanya.

Beliau malah melihat hubungan ahli PAS dan Umno kembali tegang susulan perkembangan politik di Terengganu sejak kebelakangan ini.

“Banyak insiden tuduh menuduh, tak puas hati, jadi hubungan itu kembali tegang. Tapi dulu masa awal MN di peringkat kampung saya hubungan baik, kita dah boleh ada program bersama, tak seperti sebelum ini langsung tak boleh.

“Tapi sekarang ini hubungan itu tegang baliklah,” katanya, yang ditemui di Kuala Terengganu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad menyeru PAS untuk kembali mengukuhkan Muafakat Nasional dan mengingatkan belum terlambat untuk parti Islam itu patah balik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mac, 2021.

Tidak kisah

Seorang lagi ahli PAS, Razlan Muda, 42, berkata akar umbi parti itu tidak kisah untuk bekerjasama dengan MN atau PN.

Namun katanya ahli PAS lebih selesa untuk memilih berkerjasama dengan PN melihatkan tindakan Umno yang kini sudah tidak senada.

“Dua-dua pun okay saja tapi kalau tengok apa yang berlaku sekarang, kalau Umno begitu juga, baik dengan PN saja,” katanya.

Razlan berkata PAS mudah menerima Bersatu kerana parti itu tidak ego dan angkuh seperti Umno.

“Umno ini sebab dia rasa dia kuat jadi dia ego… angkuh. Sikap itu masih ada. Dia nak dominasi tapi kita dalam kerjasama kita nak rakan, bukan siapa jadi bos,” katanya.

Ditanya mengenai desakan dan kritikan Umno dalam perhimpunan tahunannya pada hujung minggu lalu, Razlan berkata tindakan parti itu tidak mengejutkan.

Ujarnya, PAS sudah masak dengan perangai Umno dan melihat desakan itu sebagai ugutan namun parti itu tidak akan berani melaksanakannya.

“Kalau dah biasa main politik ini kita boleh baca Umno… cuma gertak. Kalau tak layan, dia akan pusing. Masa ini dia akan beri kata dua, kalau PAS layanlah. Tapi PAS tak payahlah melayan,” katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad menyeru PAS untuk kembali mengukuhkan MN dan mengingatkan belum terlambat untuk parti Islam itu patah balik biarpun sudah bersama Bersatu dalam PN.

Sayap-sayap Pemuda dan Puteri Umno dalam persidangan masing-masing juga mengasak parti Islam itu dan mendesak PAS mengumumkan pendirian dengan lebih jelas – bersama Umno atau Bersatu.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman juga berkata PAS akan untung sekiranya kekal bersama MN kerana akan mendapat bilangan kerusi lebih banyak untuk ditandingi dalam PRU15.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula dalam ucapan penggulungannya menggesa PAS menyatakan pendirian kerana Umno mahu mengenal pasti siapa lawan mahupun rakan sebelum memasuki gelanggang PRU15.

MN atau PN, jangan berpecah

Seorang lagi ahli PAS, Ibrahim, 37, turut senada berkata MN dan PN tidak boleh berpecah kerana ia akan menghancurkan perpaduan ummah.

Beliau berkata baik PAS, Umno dan Bersatu perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu tersebut supaya kerjasama MN dan PN dapat diteruskan.

“Kalau Umno buat keputusan tolak Bersatu sekarang tapi dalam tempoh empat bulan ini mungkin akan berubah. Apa yang berlaku sekarang ini, desakan Umno, mungkin disebabkan terlalu ikut perasaan.

“Tapi pendapat saya memang kena cari jalan penyelesaian duduk bersama. Sebab kita tak nak parti Melayu ini berpecah.

“Kita bimbang bila kita berpecah dalam pilihan raya akan kalah dan DAP akan jadi kerajaan,” katanya.

Ditanya tentang hubungan PAS dengan Umno di Terengganu, beliau tidak menolak ada kumpulan yang menyokong MN dan sebaliknya.

“Betul ada yang sokong dan tidak tapi itu isu kecil saja. Sebab sebahagian ahli PAS wala (setia) pada pimpinan.

“Kalau ada pemimpin Umno negeri yang bising- bising bagi PAS itu normal, sebab kita faham dulu mereka kerajaan jadi mereka ini macam budaklah bila tak dapat sesuatu akan bising, tapi itu isu kecil saja,” katanya. – 31 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • PAS+UMNO = 2 x 2 = 4.
    PAS + BERSATU = 2x1=2.

    Bersatu mana ada akar umbi? Diaorang nak tumpang pengaruh Pas jer!
    Pimpinan Pas kurang bijak pilih rakan pasukan.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh RUDY HARTONO · Ulasan