Perpaduan ummah sudah jadi perjuangan rakyat


KALAU “Objektif Syariah” (Maqasid Syariah) ada enam, tentu sekali “Perpaduan Ummah” merupakan salah satu daripadanya sekarang. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di semua negara, masyarakat dan komuniti Islam di seluruh dunia.

Sesungguhnya perpecahan umat Islam sekarang ini amat parah dan perlu diatasi dengan seberapa segera. Ia lebih parah daripada kedudukan kelima-lima “Maqasid Syariah” yang biasa digambarkan oleh para ulama Islam di seluruh dunia sebagai keperluan asasi pembinaan masyarakat dan negara Islam.

Di Malaysia sendiri, perpecahan tersebut sudah menjadi barah yang menjalar hampir ke seluruh organisasi ummah, sama ada dalam bidang sosial, budaya, cara hidup, cara berfiklir dan sebagainya. Namun yang paling parah sekali ialah dalam bidang agama dan politik.

Kalaulah perpecahan itu diibaratkan sebagai gelodak dalam sebatang sungai, sekarang ini gelodak itu tidak lagi sekadar mendap di dasaran tetapi telah mengeruhkan air di setiap lapisan sungai berkenaan, termasuk di permukaannya.

Kalau sebelum ini perbalahan seperti itu hanya berlaku di kalangan masyarakat jalanan, atau dengan perkataan lain yang lebih sopan, di antara rakyat jelata sahaja tetapi sekarang ini telah menjadi wabak yang berjangkit kepada masyarakat menengah dan atasan juga.

Hampir semua lapisan masyarakat sudah memiliki kecenderungan untuk berbalah sesama sendiri dan pandai pula menggayakan perbalahan berkenaan seperti gaya orang jalanan. Bak kata orang, semuanya sudah berada dalam kepompong yang sama.

Lebih malang, ia bukan sahaja semakin menyeluruh tetapi kadar kekeruhannya juga semakin pekat. Dalam berbalah, hampir semua perkataan yang kurang manis dan kurang enak telah digunakan, termasuk maki hamun dan sumpah seranah.

Hampir tiada perbezaan lagi antara puji dan keji, antara sayang dan benci. Semuanya halal digunakan asalkan saja diri sendiri merasa enak dan seronok untuk menyebutnya, termasuk londeh melondeh, fitnah memfitnah dan apa saja.

Malah di mana-mana pun tidak mengapa dan tiada beza, di kedai kopi atau di parlimen, di pasar malam atau di pentas syarahan. Semuanya boleh.

Mengambil kira ini semua, setiap ahli dan penyokong Majlis Dakwah Negara (MDN) diharapkan tidak terlibat dalam perbalahan yang sangat merugikan ini.

Malah sebaliknya sentiasa berfungsi sebagai faktor pendamai, sesuai dengan firman Allah yang kira-kira bermaksud “Andai kata berlaku permusuhan antara dua kalangan orang mukmin maka hendaklah kamu mengambil peranan sebagai pendamai antara kedua pihak berkenaan.”

Paling baik ialah dengan mengambil sikap proaktif bagi tujuan berkenaan, sama ada secara individu mahupun secara berkumpulan. Namun kalau sekiranya langkah proaktif itu tidak mampu dilakukan, cukup saya untuk sementara ini dengan sikap pasif, iaitu tidak melibatkan diri dalam perbalahan berkenaan dalam bentuk apa pun juga.

Ini tidak bermaksud MDN mencadangkan supaya para ahli dan penyokongnya tidak terlibat dalam politik. Cuma apa yang diharapkan ialah tidak terlibat dalam perbalahan antara orang politik Melayu/Islam dengan cara yang berlaku sekarang ini. Sebagai mereka yang komited dengan dakwah, metode kita ialah “Islah”, iaitu mewujudkan suasana damai dan berbaik sangka di antara semua pihak.

Di luar garisan tersebut semua orang berhak untuk menjadi ahli atau penyokong kepada mana-mana pemimpin atau parti politik yang ada.

Melalui kenyataan ini juga pihak kepimpinan MDN ingin menyampaikan rasa dukacita terhadap segala perbalahan yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia sekarang ini, terutama perbalahan politik.

Nampaknya para pemimpin politik kita, dalam mempertahankan pendirian politik diri dan parti masing-masing telah mula sampai ke peringkat kritikal dengan masing-masing sanggup mengambil risiko yang sangat tinggi terhadap kesejahteraan dan masa depan ummah.

Dalam keadaan sekarang ini, para pemimpin politik kita telah sampai ke peringkat sanggup memperjudikan kesejahteraan serta masa depan bangsa dan agama kita demi keuntungan politik diri dan parti sendiri.

Lebih menyedihkan lagi ialah krisis politik yang berlaku antara para pemimpin politik Melayu/Islam tanah air sekarang bukanlah krisis ideologi atau dasar perjuangan. Sebaliknya semata-mata krisis kepimpinan.

Dari segi dasar semua parti-parti politik Melayu/Islam yang berkrisis itu menjunjung “Melayu dan Islam” sebagai dasar perjuangan masing-masing. Tinggal lagi, mereka berebut kuasa dan kepimpinan atas dorongan kepentingan dan keegoan masing-masing.

Malang sekali kalau kemudiannya terjadi seperti banyak peristiwa dalam sejarah kejatuhan Islam. Akibat dari pertelagahan sesama sendiri apa yang sepatutnya dimiliki bersama antara mereka jatuh ke tangan musuh.

Baru pada saat itu mereka sedar dan insaf. Tetapi apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur dan ayam tambatan sudah disambar helang.

Sehubungan dengan ini kami merayu kepada para pemimpin berkenaan agar sedar sebelum terlambat dan berubah sebelum terlewat.

Kepada para pengikut mereka, sama ada di peringkat menengah atau akar umbi kami menyeru agar surut kembali kepada dasar perjuangan bersama dengan melupakan sedikit sebanyak keuntungan peribadi atau parti sendiri yang mungkin dapat dinikmati kalau para pemimpin dan parti sendiri mendapat kemenangan. 

Jangan biarkan diri masing-masing menjadi pengadu domba yang mampu mempertimbangkan kewarasan para pemimpin sendiri. Kerana akibatnya, wal’ayazu billah, sangat parah sekali kalau tersilap langkah dan harapan tidak menjadi.

Sesungguhnya, dalam suasana sekarang ini “Perpaduan Ummah” sudah menjadi perjuangan rakyat sesudah ia tidak lagi dijadikan sebagai antara fokus utama perjuangan mereka.

Mari kita berjemaah memperjuangkan perpaduan ummah ini kerana sebagaimana dijanjikan, bahawa “Kuasa Allah itu akan sentiasa berada bersama Jemaah.” – 30 Mac, 2021.

 

* Prof Emeritus Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen