Saya tolak guna darurat selepas kalah PRU14, kata Najib 


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak menolak untuk melaksanakan darurat kerana bimbang berlaku huru-hara dan pertumpahan darah selepas itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak dinasihatkan untuk menggunakan ordinan darurat selepas Barisan Nasional kalah pada pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 namun beliau menolak cadangan itu.

Bercakap pada forum anjuran Institt Strategi Antarabangsa, Najib berkata beliau akan catat sejarah sebagai perdana menteri yang kalah dalam pilihan raya dan diberikan beberapa pilihan oleh penasihatnya.

“Salah satunya adalah untuk mengisytiharkan darurat yang mana secara terang-terangan menolaknya,” katanya.

“Saya tahu ia boleh membawa kepada huru-hara dan pertumpahan darah dan saya memainkan peranan bagi membolehkan peralihan kuasa berjalan lancar.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau bagaimanapun tidak diberi layanan yang adil oleh kerajaan Pakatan Harapan kerana beliau dan keluarganya berdepan siasatan rasuah serta salah guna kuasa dan kemudiannya didakwa.

“Kami dilayan dengan tiada rasa hormat dan penghinaan. Saya sangat percaya kepada demokrasi dan saya masih percaya. Saya melakukan perkara yang betul iaitu untuk berdepan dan menerimanya,” kata Najib.

Pada Julai 2020, Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah kerana menerima RM42 juta dana dari SRC International, menjadikan beliau bekas perdana menteri pertama didakwa dan disabitkan di Malaysia.

Najib yang juga bekas menteri kewangan turut disabitkan atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Kes SRC International merupakan kes pertama daripada lima kes yang dihadapi pemimpin berusia 67 tahun itu selepas piihan raya umum pada 2018.

Forum Demokrasi Malaysia yang diadakan di Hotel InterContinental Kuala Lumpur hari ini turut menjemput pemimpin dari kedua-dua belah pihak. 

Antara yang hadir adalah Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok dan pengarah komunikasi Amanah yang juga Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. 

Bekas ahli kabinet Najib seperti bekas menteri luar Anifah Aman dan bekas menteri kesihatan S Subramaniam turut hadir.

Selain Najib, Umno diwakili oleh Ketua Pemudanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan ketua penerangannya Shahril Hamdan. 

Forum anjuran Institut Strategi Antarabangsa itu turut disokong oleh Parlimen Malaysia. 

Bagaimanapun beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dan menteri kerajaan menarik diri pada saat akhir. 

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun turut menarik diri pada saat akhir daripada menyertai forum berkenaan.

Najib turut membawa perkara itu ke Facebook dan mempersoalkan sekiranya Putrajaya mengarahkan pegawai kerajaan dan ahli politik daripada menyertai forum berkenaan. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen