KKM kesan 9 kluster baharu Covid-19


Noel Achariam

KKM mengesan sembilan kluster baharu Covid-19 dalam tempph 24 jam yang lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan sembilan kluster baharu Covid-19 dalam tempph 24 jam yang lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah itu, tiga melibatkan kluster di tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu membabitkan kumpulan berisiko tinggi.

Sembilan kluster yang dikesan di Selangor,  Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor itu menyumbang 135 kes baharu yang dilaporkan hari ini, tambah Dr Noor Hisham.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, 50 kluster merekodkan peningkatan kes, katanya.

Kluster Penjara Jalan Harapan mencatat pertambahan kes baharu tertinggi dengan 73 kes, diikuti Batu Enam Setengah (37 kes) dan Kluster Tapak Bina Persiaran Freesia (27 kes).

Lima kluster di tempat kerja yang dikesan adalah:

  1. Kluster Jalan Western di Sepang dan Petaling, Selangor.  Kluster ini dikesan di sebuah ladang di Western Access Road di Sepang dengan 19 kes positif Covid-19.
  2. Kluster Jalan SC Satu melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor. Dikesan hasil saringan bersasar sebuah kilang di Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang. Sebanyak enam kes positif dikesan.
  3. Kluster Jalan Pinang Raja melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor. Kluster ini membabitkan kakitangan dan pelajar-pelajar sebuah pusat pendidikan di Shah Alam, dengan 25 kes positif.
  4. Kluster Batu Enam Setengah dikesan di Seremban, Negeri Sembilan. Sebanyak 19 kes positif dikesan hasil saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja kilang di Sungai Gadut Industrial Park.
  5. Kluster Jalan Sulaiman melibatkan daerah Kepong, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur, dengan 17 kes positif.

Kluster komuniti:

  1. Kluster Fasa Dua Semarak di kesan di Tawau di Sabah, melalui saringan di Taman Semarak. Sebanyak enam kes positif dikesan.
  2. Kluster Ranggu melibatkan lokaliti di  di Kampung Ranggu, Sri Tanjung, Tawau. Sebanyak 8 kes positif dikesan.
  3. Kluster Jalan Merak  merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Jalan Merak 21, Bandar Putra, Kulai di Johor. Sebanyak tujuh kes positif dikesan.

Hanya satu kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi dikesan iaitu Kluster Kota Kemajuan, melibatkan daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor. Kluster ini melibatkan kakitangan dan pesakit-pesakit sebuah pusat hemodialisis, dengan lima kes positif. – 30 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen