Rehda minta Putrajaya lanjut kempen pemilikan rumah


Hailey Chung Wee Kye

Presiden Rehda Soam Heng Choon berkata hasil tinjauan persatuan itu mendapati program HOC berkesan membantu pemaju. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Mac, 2021.

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) meminta Putrajaya melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga Disember 2021 untuk menarik lebih ramai pembeli.

Presidennya Soam Heng Choon berkata sebanyak 90% pemaju yang menyertai HOC berjaya menjual hartanah sepanjang separuh kedua 2020.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan Rehda ke atas 134 responde, tambahnya.

Katanya, tinjauan juga mendapati 87% responden setuju bahawa HOC berkesan membantu pemaju.

“Kita berharap program HOC ini akan dilanjutkan lagi sehingga hujung tahun ini kerana ini sudah pasti akan membantu sektor hartanah,” kata Soam pada satu sidang media hari ini.

Kerajaan mengumumkan HOC 2020-2021 pada Jun tahun lalu di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi merancakkan pasaran hartanah.

Menerusi HOC, Pengecualian duti setem diberikan terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut.

Manakala duti setem dikurangkan sebanyak 3% bagi hartanah yang berharga antara RM1 – 2.5 juta, di mana duti setem 3% akan hanya dikenakan ke atas jumlah baki selepas RM1 juta. 

Program HOC dijadual berakhir 31 Mei ini.

Soam berkata sebanyak RM25.65 bilion jualan hartanah berjaya direkodkan dari Jun 2020 hingga Februari tahun ini menerusi kempen pemilikan rumah.

Daripada jumlah itu, 22% (RM5.54 bilion) membabitkan hartanah siap dibina manakala 78% (RM20.11 bilion) bagi hartanah yang masih dalam pembinaan.

Dai segi bilangan unit pula, sebanyak 34,354 rumah berjaya dijual, yang trdiri daripada 18% (6,309) rumah siap dan 82% dalam pembinaan.

“Kami rugi dua bulan pertama pada 2021 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jualan naik semula pada suku ketiga dan keempat 2020, tetapi tiada jualan pada Januari dan Februari,” katanya.

Menurut Soam lagi, Rehda menjangkakan permintaan terhadap hartanah akan meningkat dalam tempoh dua bula akan datang.

Ia didorong oleh program suntikan vaksin Covid-19 dan lebih banyak sektor ekonomi dibenar beroperasi , katanya. – 30 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen