Cakap kena serupa bikin, kata Guan Eng pada pesuruhjaya SPRM


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata SPRM patut lancarkan siasatan semua elemen dalam kes KPN, kerana ia bukan hanya isu dalaman PDRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2021.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melancarkan siasatan berhubung dakwaan ada kumpulan dalam pasukan polis yang berusaha menggulingkan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu “cakap serupa bikin” dengan menyiasat elemen berkenaan dalam pasukan polis, susulan daripada dakwaan Hamid baru-baru ini.

Beliau berkata logik di sebalik penjelasan Azam iaitu tuduhan itu hanya isu dalaman polis adalah “tidak masuk akal”.

“Rasuah bukan masalah dalaman untuk diselesaikan secara dalaman tetapi ia jenayah yang mesti diselesaikan secara terbuka di mahkamah,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Katanya, Azam ada memberitahu The Sunday Star memerangi rasuah dalam kalangan penjawat awam sangat penting.

Namun, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata agensi anti rasuah berkenaan tidak berhasrat untuk campur tangan dalam isu yang dibangkitkan oleh Hamid, kerana ia masalah dalaman polis.

Azam berkata SPRM yakin dengan kemampuan dan kredibiliti polis untuk menangani isu berkenaan kerana Hamid juga membuat kenyataan mereka mampu berbuat demikian.

Pada 23 Mac, Hamid berkata polis mengenal pasti beberapa individu yang cuba menggulingkannya.

Tanpa mendedahkan nama mereka, Hamid berkata isu itu masih dalam kawalan dan di bawah penyeliaannya, dan beliau yakin mereka yang terbabit tidak dapat “bergerak” pada masa ini.

Lim berkata Azam sepatutnya tahu amalan terbaik antarabangsa dalam menentang rasuah iaitu memerlukan badan bebas untuk menyiasat dan bertindak, bukan menjalankan siasatan dalaman, yang akan cenderung mengurangkan atau menutup salah laku. – 30 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen