Malaysia catat 941 kes baharu Covid-19 


Kali terakhir negara merekodkan kes baharu Covid-19 di bawah empat angka ialah pada 9 Disember tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2021.

SELEPAS empat bulan, Malaysia kembali mencatat angka harian kes Covid-19 bawah seribu dengan 941 kes dilaporkan hari ini.

Kali terakhir negara merekodkan kes baharu Covid-19 di bawah empat angka ialah pada 9 Disember tahun lepas, apabila mencatat 959 kes.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 219 kes diikuti Sarawak (191) dan Johor sebanyak 171 kes.

Noor Hisham berkata 1,097 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 327,406.

Tambahnya kini terdapat 14,219 kes aktif.

Setakat ini 166 kes positif dirawat di unit rawatan rapi yang mana 73 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata lima kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian 1,260.

Kes kematian hari ini melibatkan empat warga Malaysia dan seorang warga asing.

Mangsa adalah seorang wanita warga tempatan dari Sarawak berusia 63 tahun menghidap diabetis dan tekanan darah tinggi manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun menghidap diabetis, tekanan darah tinggi dan asma.

Dua lagi warga Malaysia adalah lelaki berusia 82 tahun dari Selangor yang menghidap diabetis, tekanan darah tinggi, penyait jantung dan penyakit buah pinggang manakala seorang lagi lelaki berusia 42 tahun dari Sabah menghidap gout dan obesiti.

Bagaimanapun tiada maklumat mengenai warga asing dari Sabah berusia 64 tahun. – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen