Buktikan Umno bukan cakap kosong


SAYA mengikuti rapat Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk melihat bayangan strategi yang bakal mereka ambil menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Beberapa kali saya katakan mereka sedang berada pada posisi yang selesa, berbanding parti politik yang lain. Mereka mengambil pendekatan “menjadi kerajaan tanpa menjadi sebahagian daripada kerajaan”.

Dalam erti kata lain – mereka tidak mengiktiraf parti mereka sebagai parti kerajaan, melainkan rakan strategik kepada Bersatu. Disebabkan hal ini, beberapa tokoh utama yang tidak berada dalam “kluster menteri” selalu melontarkan kritikan terhadap kerajaan, sesekali ia lebih efektif daripada pembangkang.

Situasi ini menyebabkan mereka sukar dikritik sebagai kerajaan – dan tidak boleh pula dianggap sebagai pembangkang.

Prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang teruk menyebabkan masyarakat Melayu kembali melihat Umno adalah parti politik yang boleh membantu mereka.

Secara jelas kita dapat melihat perubahan naratif melalui ucapan-ucapan anggota Majlis Kerja Tertinggi dan perwakilan Umno pada PAU kali ini.

Kita dapat melihat Bersatu digambarkan lebih jijik berbanding DAP. Bagi mereka yang mengikuti Umno, kita mengetahui setiap kali PAU berlangsung, serangan utama akan dihalakan kepada parti lawan, terutamanya DAP. Kali ini, mereka mengkritik hebat rakan sendiri.

Begitu juga dengan naratif “perpaduan ummah” yang sebelum ini menjadi modal propaganda, nada Umno dalam hal ini sudah berbeza.

Mereka melihat ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada sentimen perpaduan masyarakat Islam dan Melayu untuk mendapatkan kuasa.

Secara peribadi, saya berpandangan ini adalah mesej yang paling kuat dalam PAU kali ini – Umno sendiri mengakui konsep kerajaan Melayu Islam saja tidak semestinya yang terbaik, kerana ada pihak yang boleh mengambil kesempatan dengan menunggang Islam dan Melayu.

Dua perubahan naratif yang besar ini tidak akan berlaku tanpa tekanan yang kuat daripada akar umbi Umno. Dalam kerajaan PN, ramai beranggapan Umno sedang dibuli. Umpama ucapan yang disampaikan oleh timbalan presiden Umno; mereka telah menjadi gajah yang masuk ke hutan, tetapi tidak ada ranting yang patah.

Menjelang PRU15, sudah pasti Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. PAS sepatutnya  berhenti cuba menjadi “broker” atau “pendamai” dalam hal ini, mereka tidak akan berjaya.

PAS juga patut menerima mesej yang disampaikan di hadapan muka mereka ketika PAU kali ini. Menyatukan Bersatu dan Umno umpama cuba menggabungkan minyak dan air; atau PAS dan Amanah.

Sudah tentu Bersatu tidak ingin kehilangan Umno sebagai rakan strategik, mereka adalah parti baharu yang tidak mempunyai akar umbi yang kukuh, atau tokoh yang boleh memikat hati rakyat.

Bersatu perlu menyedari hakikat; tidak ada jalan pintas untuk membina sebuah parti yang kukuh dan diterima rakyat. Cuba mencuri ahli parti politik yang tidak berprinsip hanya akan membawa kerugian kepada parti mereka, orang ini boleh khianat pada bila-bila masa.

Membina kepercayaan adalah satu proses yang panjang; kita dapat lihat bagaimana PKR yang bergelut untuk mendapatkan kerusi pada peringkat awal penubuhannya.

Mereka harus membina prinsip atau ideologi parti untuk menjadi relevan. Jika mereka ingin berjuang untuk masyarakat Melayu, perjuangan yang bagaimana mereka ingin bawa? Ia tidak boleh sama dengan apa yang diperjuangkan Umno atau PAS.

Umno akan bertanding dengan bendera Barisan Nasional pada PRU15, dan pastinya akan bertanding di hampir semua kawasan. Pada saat ini, mereka hanya perlu memikirkan siapa rakan strategik yang boleh membantu mereka kembali ke Putrajaya; kerana zaman parti politik memerintah secara solo telah berakhir.

Cuma, mereka tidak boleh hangat-hangat tahi ayam lagi; jika benar ingin menarik sokongan, mereka harus melakukannya.

Andainya pada tahun ini desakan PRU15 mereka tidak berlaku, dan mereka tidak menarik sokongan seperti yang diungkapkan dalam PAU kali ini, ramai yang akan melihat Umno sebagai parti yang hanya tahu memberi ugutan.

Saya harap selepas PRU15 kita akan memiliki kerajaan yang stabil dan aksi melompat parti ini akan berakhir. Kesan buruk akibat kerajaan yang tidak stabil sebenarnya ditanggung oleh rakyat, kerana mereka yang akan terkesan akibat dasar dan polisi yang tidak jelas. – 29 Mac, 2021.

* Rahman Imuda ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen