DAP tidak akan dapat sokongan Melayu jika pilih jalan selamat, kata Zaid Ibrahim 


Bede Hong Liow Sze Xian

Bekas menteri Zaid Ibrahim berkata pemimpin parti pembangkang majoriti Cina itu tidak seharusnya "memilih" dalam mendekati pengundi dalam isu yang mereka perjuangkan untuk mendapatkan undi Melayu. – Gambar fail The Mlaaysian Insight, 4 Januari, 2018.

DAP tidak seharusnya “memilih jalan selamat” apabila ia membabitkan isu-isu yang mempengaruhi orang Melayu, jika tidak, ia tidak akan berkembang melangkaui sokongan Cina, kata pemimpin Melayu dalam parti itu.

Zaid Ibrahim, yang  menyertai DAP Februari lalu berkata, pemimpin parti pembangkang majoriti Cina itu tidak seharusnya “memilih” dalam mendekati pengundi dalam isu yang mereka perjuangkan untuk mendapatkan undi Melayu. 

“Mereka juga perlu bercakap mengenai masalah yang dihadapi orang Melayu juga, kata bekas menteri itu kepada The Malaysian Insight. 

“Saya rasa masalah dalam negara ini ialah apabila ia melibatkan isu Melayu atau Islam, orang Cina enggan bercakap kerana orang akan kata: “Oh, mengapa kamu campur tangan?”.

“Tetapi sekiranya kamu tidak bercakap tentang isu yang berkaitan orang Melayu, kamu tidak akan terlibat dengan masalah Melayu. Jadi ia menampakkan seolah-olah kamu tidak mempedulikan mereka,” katanya yang juga bekas ahli Parlimen Kota Bharu. 

Zaid turut mengulangi pengalaman peribadinya, membabitkan isu dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bulan lalu. 

“Sesetengah orang hanya berdiam diri dan cuba cari jalan selamat. Sebagai contoh, isu Sultan Selangor. Itu bukan isu Melayu. Ia adalah isu perlembagaan. Bukan isu Melayu. 

“Namun jika DAP merasakan mereka perlu memilih jalan selamat kerana pilihan raya, kerana tidak mahu rakyat marah, kamu tidak akan jadi sebahagian daripada komuniti Melayu, kerana kamu terlalu memilih apa yang kamu mahu pertahankan. Saya rasa kita perlu pertahankan semua rakyat Malaysia.”

Pemimpin DAP kata Zaid tidak boleh memilih dalam isu yang mahu dipertahankan bagi menjamin sokongan orang Melayu terhadap parti itu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2018.

Dalam satu temubual dengan The Star pada 5 Disember lalu, Sultan Sharafuddin, yang berketurunan Bugis bertitah, baginda murka dengan Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan kenyataan “lanun Bugis” untuk menyerang Perdana Menteri Najib Razak. 

Hari berikutnya, Zaid menerusi Twitternya berkata Sultan Selangor perlu “berhati-hati dengan apa yang diperkatakannya” dan “tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar.”

Sementara itu, pada perhimpunan agung Umno selepas itu, pemimpin Baju Merah Jamal Md Yunos mengancam untuk menukul kepala Zaid sekiranya tiada tindakan diambil berhubung kritikannya terhadap Sultan. 

Pada hari yang sama, ketua publisiti DAP, Tony Pua berkata Zaid perlu bertanggungjawab ke atas kenyataannya.

Jamal selepas itu ditahan, namun tidak didakwa. 

Pada hari berikutnya, pemimpin DAP menyatakan sokongan mereka terhadap Zaid. 

Ditanya sama ada beliau merasa tersisih ketika itu, Zaid berkata: “Tidak. Apabila kamu mengambil tempat, kamu tidak akan rasa tersisih. Kamu akan rasa kecewa kerana tidak cukup ramai yang memberi sokongan. Tapi itu sahaja. Perasaan itu hanya seminggu.”

Ditanya sekiranya DAP akan mengubah persepsi umum bahawa ia adalah “anti-Melayu”, bekas menteri itu berkata: “DAP boleh buat apa sahaja. Terpulang kepada pemimpin untuk menentukan. Saya tidak mahu berbohong yang saya lebih mengenali DAP berbanding pemimpinnya.”

Beliau turut menggesa rakyat untuk lebih mengenali parti itu dan menilai berdasarkan rekodnya. 

“Saya rasa kita perlu nilai seseorang itu berdasarkan tindakan mereka. Bukan dengan apa yang mereka katakan. Jadi, DAP juga perli dinilai berdasarkan tindakan mereka. Adakah mereka buat yang terbaik?

“Orang Melayu juga tidak sepatutnya menilai berdasarkan apa yang orang cakap. Kamu perlu lebih mengenali DAP. Kamu perlu lebih tahu mengenai orang Cina dengan lebih baik. Selepas itu baru buat pilihan. 

“Kamu tidak boleh berikan kenyataan secara umum. Orang Melayu merasakan tidak adil dan DAP adalah anti-Melayu. Sekiranya kamu sertai DAP dan bergaul dengan ahlinya, barulah ada asas untuk membuat kenyataan sebegitu. 

“Begitu juga dengan DAP, tidak boleh kata,“Oh orang Melayu tidak mahu sertai kita”, melainkan parti sudah beri penjelasan kepada rakyat”.

“Kamu perlu menilai berdasarkan apa yang orang lain lakukan, dan sebaliknya.”

Zaid meletakkan jawatan daripada kabinet perdana meteri Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 sebagai membantah penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA). Beliau menyertai PKR pada tahun berikutnya, sebelum meletakkan jawatan pada 2012 ketika kemelut dalaman parti. 

Daripada 36 kerusi Parlimen, DAP mempunyai dua ahli Parlimen Melayu: Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub) dan Zairil Khir Johari (Bukit Bendera). – 4 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen