Ahli akademik buta seni; ahli politik menunggang seni


Haris Hauzah

SEBAIK saja PKP diumumkan tamat oleh Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob di televisyen selang beberapa minggu lalu, aku menerima emel dari seorang teman lama yang mempelawa untuk berjumpa. Tanpa membuang banyak masa aku membalas emel temanku itu dengan lima perkataan yang biasa aku guna: “Baik kita jumpa tempat biasa.”

Setelah hampir lima tahun tak jumpa akhirnya kami diketemukan tuhan di tempat biasa kami jumpa.

Kami berkawan sejak di bangku sekolah rendah. Anehnya kami jadi rapat kerana kami memiliki kepercayaan yang berbeza. Dia percaya seni tidak akan membawa manusia ke mana-mana, sedangkan aku percaya sebaliknya.

Sejak mengenali filem dan mula secara serius menontonnya di acara tayangan wayang pacak kelolaan Jabatan Penerangan pada tahun 1980-an dulu, aku perlahan-lahan percaya filem ada keajaiban yang tak boleh semua orang sedar dan semudahnya terima. Aku percaya filem membina kemanusiaan dan mencipta manusia.

Sebagai anak setinggan yang sama-sama membesar di pinggir kota. Kami bukan saja bermain bersama malah bersaing untuk memenangkan apa yang kami percaya.

Keadaan hari ini lebih menarik apabila dia sudah ada kedudukan yang baik di universiti ternama dalam negara. Sementara aku masih lagi mengejar cita-cita lama untuk jadi penulis besar dunia.

Situasi itu menjadikan dia lebih merasa stabil dan selesa. Dia bukan lagi teman yang boleh diajak berkelahi tentang apa yang kami percaya apabila dia bercerita betapa dia mengidam jawatan profesor di tempat dia bekerja.

Makanya pertemuan kami kali ini sedikit tegang, kekok serta agak berbeza perasaannya berbanding pertemuan kami yang sebelumnya.

Selepas meneguk teh tarik kegemarannya, dia dengan suara seorang profesor sambil bergaya ala seorang Attasian terus bertanya.

“Kenapa kau asyik menulis tentang dua hal ini saja. Aku tak nampak apa peri pentingnya seni untuk manusia dan negara. Apa yang menarik minat kau untuk menulis tentang Finas dan hal-hal filem.

“Bukankah ia hanya hal kecil yang tak penting mana untuk manusia bahkan untuk negara?” tanyanya.

Ada beberapa hal yang menuntut aku sebagai seorang pencinta seni dan penulis pertimbangkan. Pertimbangan itu menjadi faktor penentu dalam membuat keputusan mengapa aku memilih untuk menulis hal-hal seni yang serupa ini.

Sementara pada masa sama, aku sendiri sedar topik dan subjek yang dipilih ini memang bukanlah sesuatu yang masyarakat suka berbanding hal-hal gosip cinta dan cerita artis bercerai yang lebih sedap untuk dibaca.

Ada tiga hal yang boleh dijadikan premis bagi merungkai persoalan teman bakal profesor ini.

Pertama, kerana aku percaya seni bukan hanya hiburan buta semata-mata. Kedua, terbukti di banyak negara, seni seperti filem adalah produk budaya yang menyumbang banyak kemajuan untuk negara mereka. Tidak hanya pada sejarah dan sistem sosial, malah seni turut menyumbang dalam bentuk struktur pekerjaan dan pendapatan seperti KDNK dan cukai negara.

Namun apa yang lebih penting adalah yang ketiga. Filem menyemarakkan kemahiran mencari kebenaran dalam kalangan masyarakat. Hal inilah yang tidak didapati di universiti tempat teman saya ini bertugas dan bakal memperoleh gelar profesor.

Sewaktu menjadi penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dalam jurusan penulisan, kebanyakan penuntut tidak kenal Ecce Homo atau Thus Spoke Zarasthura karangan Nietzche.

Pelajar terpinga-pinga apabila mendengar Enten-Eller: et livs-fragment dan Frygt og Baeven tulisan Kierkegaard. Nama-nama seperti Jean-Paul Sartre, Martin Heidegger, Jacques Derrida atau Michel Foucault semuanya asing, apatah lagi karya agung tulisan mereka.

Entah bagaimana sebuah negara yang mengakui Islam sebagai teras kekuatannya, negara ini malah menjadi anti terhadap gerakan mencari kebenaran. Kebenaran di daerah sini hanya jadi tugu yang perlembagaan tunjuk dan pihak berkuasa ajarkan.

Komuniti penuntut pada akhirnya dicengkam oleh kepercayaan dan keyakinan yang bukan benar-benar mereka sendiri yakin dan percaya. Projek memaksakan percaya terhadap apa yang disua dan dibenarkan saja ini hakikatnya adalah suatu masalah yang kritikal.

Kerana ia menyebabkan kemahiran mencari kebenaran itu hilang akibat tidak pernah diusahakan sistem mahupun digerakkan sesiapa.

Perkara tersebut tentu ada kaitannya dengan sikap perasan elit ahli akademik yang terlalu selesa hidup terasing di dalam kampus universiti mereka.

Ahli akademik hari ini sudah tidak lagi peduli dan mahu menghiraukan jutaan malapetaka yang kini sedang membedil banyak jiwa dan membakar akal masyarakat kita.

Ketiadaan fakulti atau jabatan falsafah di universiti tempatan dalam negara kita menambahkan lagi sengsara. Universiti yang dibina untuk mencari kebenaran, tidak wujud di negara kita.

Universiti yang seharusnya terbina atas nama mencari kebenaran mempersoalkan kepercayaan agar berdaya untuk memperbaiki, menyelesai dan memberikan jutaan solusi pada penyakit dan permasalahan masyarakat hampir pasti tidak akan ada.

Oleh kerana itu seni sewajarnya diberikan ruang dan peluang yang lebih luas. Seni harus diberikan jalan dah haknya. Agar seni seperti filem dapat jadi sekolah buat manusia.

Kebanyakan seni filem ada membawa kualiti Thus Spoke Zarasthura atau Enten-Eller: et livs-fragment. Seni dalam filem banyak mengangkat persoalan masyarakat yang mempertanyakan tentang kebenaran.

Penentangan takdir yang dijadikan konflik dalam filem mampu jadi buah fikir dan inspirasi untuk masyarakat awam sama-sama memikirkan solusi dan penyelesaiannya.

Nah, kerana itulah maka aku kerap menulis tentang seni filem lantas mempersoalkan Finas yang seharusnya bijak membangunkan dunia filem negara.

Selama puluhan tahun negara ini membelanjakan banyak wang hanya untuk membuat perkara-perkara remeh yang tidak mendatangkan kesan besar kepada industri seni. Potensi besar seni seperti filem selepas puluhan tahun tetap kekal pada paras yang sama. Malahan kini filem kita ketinggalan jauh berbanding negara Asia yang lainnya.

Masalah negara ini adalah apabila adanya ahli akademik yang berasa seni tidak mempunyai keupayaan untuk membangunkan bangsa dan negara. Sementara politikus yang kita ada pula sering menunggang seni hanya untuk kepentingan politik mereka. – 29 Mac, 2021.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen