Pameran pelancongan dalam talian bagi rancakkan pelancongan domestik


Bernard Saw

Persatuan pelancongan akan mengadakan pameran e-travel pada sepanjang Ramadan depan bagi meningkatkan pelancongan domestik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2021.

PERSATUAN Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) akan mengadakan pameran e-travel sepanjang Ramadan depan bagi meningkatkan pelancongan domestik, kata presidennya Uzaidi Udanis.

Setelah terkena tempias Covid-19, pemain pelancongan juga berubah dari promosi bermusim biasa, dengan mengadakan tawaran sepanjang tahun.

Uzaidi berkata industri perlu cuba pendekatan lebih fleksibel dengan menawarkan lawatan dan pakej yang akan digunakan pada akhir tahun ini, agar dapat menyesuaikan diri dengan ketidakpastian seperti sekatan pergerakan.

“Pameran seperti itu biasanya tidak dibuat pada bulan Ramadhan tetapi kami berharap orang ramai akan sokong. Ini tahun sukar dan pemain pelancongan perlu bertahan.

“Orang ramai boleh beli pakej, dan melancong kemudian. Maksudnya untuk ajak mereka buat prapesan tawaran baik terlebih dahulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemain pelancongan domestik menghadapi pemulihan yang mencabar kerana pembukaan semula sempadan negeri dan pelancongan tempatan sebentar sahaja sebelum penutupan semula awal tahun ini.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) lain dikenakan awal tahun ini dan perjalanan antara negeri dilarang, kecuali dengan kebenaran khas dari polis atas alasan tertentu, dan bagi gelembung pelancongan yang disusun agensi pelancongan dan pengendali tertentu sahaja.

Pakej ditawarkan akan cukup fleksibel sehingga orang ramai dapat menjadualkan semula tarikh percutian mereka sekiranya mereka tidak dibenarkan melancong tahun ini, katanya.

“Tempah pilihan anda dengan harga istimewa terlebih dahulu. Kami akan fleksibel, tetapi tempahan tetap berdasarkan siapa awal.”

Pemain pelancongan tempatan juga mula memberi tumpuan kepada produk-produk khusus sebagai sebahagian daripada strategi mereka untuk menghidupkan semula pelancongan setelah mengalami kerugian besar akibat Covid-19 tahun lalu.

Ini termasuklah pelancongan eko dan mampan, serta menghidupkan kembali minat di kawasan bersejarah dan warisan seperti Lembah Lenggong Perak, tapak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (Unesco).

Bagaimanapun, Uzaidi berkata beberapa pemain industri kecewa dengan cara prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dijalankan, termasuk kesan peningkatan kompaun terhadap pelanggan yang dikenakan denda.

Selepas PKP kedua pada Januari tahun ini berakhir pada 5 Mac, ia digantikan dengan PKP bersyarat (PKPB) pula.

Jualan dalam talian untuk pelancongan segera meningkat kerana orang ramai jangka boleh keluar negeri, tetapi ia hanya sementara, ditambah pula langkah kerajaan meningkatkan kompaun RM1,000 kerana melanggar SOP Covid-19 kepada RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Perjalanan antara negeri dilarang

Pengerusi eksekutif Pearl Holiday (M) Travel & Tour Sdn Bhd, Loo Kok Seong berkata, ada pelanggan yang meminta bayaran balik kerana bimbang didenda RM10,000.

Loo berkata industri pelancongan tidak jelas, kerana di satu pihak, mereka tahu kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pelancongan tempatan dengan mengadakan gelembung pelancongan antara negeri PKPB, tetapi di sisi lain, kompaun yang tinggi menimbulkan rasa takut kepada pelanggan.

“Beberapa pelanggan akan tanya kami, ‘Kalau saya didenda RM10,000, adakah agensi pelancongan akan bertanggungjawab?’

“Ini adalah topik yang merisaukan industri jika pelanggan mahu agensi pelancongan tanggung denda.”

Katanya, dengan bulan Ramadan semakin hampir, beliau tidak menjangkakan kerajaan akan banyak membantu mempromosikan pelancongan domestik.

“Saya rasa satu-satunya harapan industri pelancongan adalah selepas pandemik dikawal dan majoriti penduduk diberi vaksin.” – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen