Pemimpin Umno mangsa pendakwaan terpilih, kata Annuar


Raevathi Supramaniam

Annuar berkata beliau turun ke mahkamah untuk bersolidariti kepada Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak bila ada kesempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2021.

PEMIMPIN Umno yang berhadapan perbicaraan adalah mangsa pendakwaan terpilih, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dalam satu wawancara disiarkan secara langsung di Facebook malam ini.

“Saya rasa tak selesa dengan rakan-rakan yang didakwa di mahkamah. Mereka diseret ke mahkamah kerana itu adalah pendakwaan terpilih.

“Jika tidak, Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno) dan Najib Razak (ahli Parlimen Pekan) tidak perlu melalui perkara ini. Ini adalah pendakwaan terpilih, ia bersifat politik,” katanya.

Beliau menjawab para pengkritik yang berkata pemimpin Umno yang berhadapan perbicaraan setelah kejatuhan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu telah melemahkan Umno.

Annuar juga berkata perlu ada solidariti dalam Umno untuk menyokong pemimpin yang berhadapan perbicaraan.

“Itulah sebabnya saya pergi ke mahkamah untuk sokong Najib dan Zahid bila saya ada masa. Saya harap mereka mendapat keadilan.”

Sebelum ini Zahid mendakwa pemimpin partinya yang menghadapi tuduhan jenayah sebenarnya adalah orang yang berusaha menyelamatkan parti Melayu itu.

“Kluster mahkamah”, istilah digunakan untuk melumpuhkan pemimpin Umno yang menghadapi tuduhan jenayah, menjadi mangsa propaganda kerana tidak mahu Umno dibayangi Bersatu, katanya. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen