Bukan sekadar putus hubungan dengan Bersatu


Chan Kok Leong

Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti PAS bahawa belum terlambat untuk putuskan hubungan dengan Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2021.

PERHIMPUNAN Agung Umno 2020 bukan sekadar memformalkan putusnya hubungan Umno dengan Bersatu dan Perikatan Nasional menjelang pilihan raya akan datang.

Hakikatnya, ia lebih daripada itu.

Buat sekian lama para perwakilan dan pemimpin merasionalkan keputusan untuk menamatkan hubungan politik dengan Bersatu, parti Melayu terbesar itu juga turut melampiaskan kata dua kepada PAS.

Dengan dua pemimpin utama PAS - Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man - duduk di pentas utama dalam PAU 2020, Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti Islam itu belum terlambat untuk putuskan hubungan dengan Bersatu.

Komitmen PAS terhadap Muafakat Nasional atau dengan kata lain Umno turut dipersoalkan.

Pecahkan Bersatu

“Putus hubungan dengan Bersatu saja tak cukup,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

“Umno mahu memecahbelahkan Bersatu dengan menyingkirkan parti komponen terbesar Perikatan Nasional, PAS.”

Katanya walaupun Bersatu ada 35 ahli Parlimen (setelah menambah empat dari PKR Lubok Antu, Julau, Tebrau dan Kuala Langat), lebih daripada separuh kerusi itu berada di kawasan majoriti Melayu.

Hisomuddin berkata pengundi di kerusi seperti Jeli, Tanah Merah, Larut, dan lain-lain, hanya kenal Umno dan PAS.

“Dengan pengalaman hanya satu tahun, Bersatu tidak dapat mempertahankan kerusi ini tanpa parti seperti PAS.”

Daripada 31 kerusi Bersatu, 15 dari kerusi Umno manakala 10 lagi dari kerusi PKR. Dari 15 bekas kerusi Umno itu, 10 di kawasan majoriti Melayu di mana kedua-dua Umno dan PAS kuat.

Dengan pilihan raya menjelang tidak lama lagi, Hisomuddin berkata Umno perlu tahu sama ada mereka akan menentang Bersatu sahaja atau Bersatu dengan PAS di 120 kerusi Melayu di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, lebih daripada memisahkan rakan dan musuh, saintis politik Dr Wong Chin Huat percaya Umno berusaha untuk memecahkan Bersatu dengan mengetepikan parti kerajaan.

“Apa Bersatu ada sekarang ini adalah kuasa kerajaan,” kata Wong.

“Tapi kelebihan ini seperti mempunyai tenaga solar waktu senja.

“Tanpa PAS, Bersatu ada sedikit atau tidak ada jentera parti di banyak kawasan malah kumpulan pengundi parti yang lebih kecil.”

Prof Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi juga percaya Bersatu atau Perikatan akan sangat lemah sekiranya PAS meninggalkan mereka.

“Bersatu akan lumpuh kerana akan kehilangan parti Melayu kedua terbesar. Saya percaya pihak lain - STAR, Gerakan dan SAPP - juga akan meninggalkan Perikatan sekiranya PAS keluar,” kata pensyarah kajian etnik Melayu itu.

Satu-satunya sumbangan yang akan dikenang oleh Perikatan adalah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, katanya yang berasal dari Sarawak.

Adakah PAS akan tolak Umno atau Bersatu?

Tetapi di sebalik tindakan Umno, Wong percaya PAS lebih suka bersama Bersatu dalam Perikatan berbanding Umno.

“PAS akan menggunakan peluang ini untuk mengembangkan parti setelah pecahan Amanah keluar parti pada 2015.”

Katanya PAS boleh mewarisi Perikatan atau menjadi parti utama dalam Perikatan sekiranya Bersatu gagal.

Wong berkata mimpi terburuk Bersatu adalah PAS mengkhianati mereka pada saat-saat akhir dengan kekal berkecuali.

“PAS akan berkecuali jika Umno berjanji untuk tinggalkan kerusinya sahaja. Ini akan bawa kebaikan buat Umno kecuali di Kelantan dan Terengganu,” kata Wong.

Hisomuddin juga percaya PAS akan tetap bersama Perikatan.

“Reaksi mereka terhadap Perhimpunan Agung Umno menunjukkan mereka tidak bersedia tinggalkan Bersatu untuk Umno,” kata bekas aktivis pelajar itu.

Menanggapi peristiwa itu, Timbalan Ketua PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar memberi amaran kepada Umno dan menyebutnya “tidak sopan” kerana memaksa PAS memilih.

Namun seperti Ketua Pemuda Umno Dr Aysraf Wajdi Dusuki dalam ucapan penutupnya pada Sabtu: “Adakah anda kawan atau musuh, PAS? Umno perlu tahu.” – 29 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen