Umno tarik sokongan lepas darurat tamat, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye Diyana Ibrahim

Ia akan dilaksana sebaik sahaja Proklamasi Darurat tamat pada atau sebelum 1 Ogos, kata presiden Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

UMNO akan menarik sokongan mereka daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaik sahaja Proklamasi Darurat tamat pada atau sebelum 1 Ogos depan, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan Umno dalam persidangan tahunan mereka yang tamat petang tadi.

Jelasnya, usul itu dicadangkan dan diterima sebulat suara oleh perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 hari ini.

“... (Ia) memutuskan beri kuasa kepada presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi menentukan pilihan raya mesti diadakan apabila tamat tempoh darurat pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya bila darurat ditamatkan. 

“Itu keputusan besar hari ini,” kata Ahmad Zahid ketika sidang medianya selepas menyampaikan ucapan penggulungan di PWTC.

Butiran lanjut berhubung perkara itu katanya akan dibincangkan oleh MKT dalam mesyuarat mereka akan datang.

Zahid juga menegaskan, keputusan yang dibuat hari ini hendaklah dipatuhi anggota parti tanpa sebarang pertikaian.

“Oleh kerana PAU adalah badan tertinggi dalam Umno, sebagaimana tercatat dalam perlembagaan yang memutuskan satu dasar atau polisi besar, maka ahli Umno dan kepimpinan hendaklah patuh keputusan parti dan tidak harus ada dakwa dakwi di luar sana Umno di persimpangan. 

“Umno tak berada di persimpangan. Keputusan PAU jelas, kami ambil keputusan besar,” kata Zahid lagi.

Beliau juga menegaskan, lembaga disiplin Umno akan memutuskan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap pengkhianat dan pemimpin yang menikam parti dari belakang.

“Keputusan itu bukan keputusan presiden tapi lembaga disiplin yang akan bawa perkara itu untuk diteliti jawatankuasa pengurusan kemudian ke MKT,” katanya.

Dalam ucapannya, tanpa menamakan sesiapa, Zahid berkata terdapat pemimpin Umno yang lupa mereka dilantik ke Kabinet kerajaan PN kerana Umno.

“Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tak ada di pentas ini tapi menikam Umno dari belakang.

“Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan,” kata Zahid dalam ucapannya.

Terdahulu, persidangan itu meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Umno hanya akan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Lima usul yang diluluskan hari ini juga menggesa PRU15 disegerakan dan Umno akan bertanding dengan lambang Barisan Nasional (BN).

Ia turut menetapkan ikrar untuk mempertahankan kerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional dengan berpandu piagam yang ditandatangani pada 14 September 2019.

Proklamasi darurat berkuatkuasa bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos dan boleh ditamatkan lebih awal atas saranan jawatankuasa bebas yang turut dianggotai pembangkang. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen