Jawatan itu ada kerana Umno, kata Zahid 


Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin parti itu tentang kedudukan mereka yang mendapat jawatan dalam kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Umno bahawa kalau bukan kerana Umno, mereka tidak akan dilantik sebagai menteri dan timbalan atau memegang jawatan dalam kerajaan sekarang.

Beliau mahu mereka masing-masing sedar supaya tidak terlalu selesa dengan jawatan sehingga sanggup mengambil sikap politik yang bertentangan dengan parti, ketika Umno memutuskan untuk tidak bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah Ahmad Zahid dengan nada sinis mencabar seorang menteri Umno yang bukan anggota Majlis Kerja Tertinggi untuk letak jawatan daripada terus “menikam Umno dari belakang”.

“Mereka jadi menteri kerana parti yang letak jawatan itu. Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok bilik berhawa dingin dan kerusi empuk lihat dan harus tahu mereka yang ada di sana… termasuk seseorang yang menjadi menteri tapi ada ada di pentas tapi tikam Umno dari belakang, kalau dia anak jantan harus letak jawatan sebagai menteri.

“Ini makhluk perosak. Kalau bukan kerana Umno dia tidak akan ada di kementerian berkenaan,” katanya semasa berucap menutup Perhimpunan Agung Umno 2020 di Kuala Lumpur, petang tadi.

Ahmad Zahid memberi peringatan itu susulan keputusan Umno yang membuat ketetapan akan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional jika tidak ada petunjuk pilihan raya umum diadakan dalam waktu terdekat.

Umno mempunyai sembilan menteri dan lima timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Daripada sembilan menteri itu, lima bukan anggota MKT Umno iaitu Hishammuddin Hussein, Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Adham Baba dan Halimah Mohamed Sadique.

Zahid dalam ucapannya berkata pemimpin parti itu harus mencontohi semangat Najib Razak biarpun tidak mempunyai sebarang jawatan namun tetap menyokong parti.

“Kita lihat contoh ahli Parlimen Pekan Najib, malu apa bosku..  duduk atas atau duduk dibawah tetap mendukung kuat parti.

“Semangat itu yang harus kita kagumi,” katanya. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen