Muhyiddin tak selamat di Pagoh, kata Umno Johor


Mohd Farhan Darwis Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye Chan Kok Leong

Ketua Umno Johor Hasni Mohamad berkata Umno Johor juga memberi jaminan PAS mampunyai peluang lebih cerah jika bersama mereka dalam satu pasukan menghadapi PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

MUHYIDDIN Yassin dijangka tidak mampu mengekalkan kerusinya di Pagoh sekiranya perdana menteri itu kekal bertanding di kawasan Parlimen tersebut, kata Umno Johor.

Ketua Umno Johor Hasni Mohamad berkata, kaji selidik mereka mendapati hanya kira-kira 26% pengundi Melayu di negeri itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

“Melayu Johor sokong PN hanya 26%. Ini bererti perdana menteri lemah di kawasan sendiri.

“Kalau jeneral perang (Bersatu) akan diganggu gugat Umno Pagoh, mudahlah kerja nak tawan negara ini,” kata Hasni sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden Umno.

Hasni berkata, walau Umno menyokong konsep Muafakat Nasional (MN), parti itu lebih yakin dengan konsep Barisan Nasional (BN) yang diamalkan bersama parti komponen MCA dan MIC.

Menteri besar Johor itu berkata, ini kerana rakyat Johor lebih yakin dan percaya kepada konsep BN.

“Kita buat keputusan di Johor konsep BN lebih penting untuk menang,” katanya Adun Benut itu lagi yang menjelaskan ia akan memberi peluang lebih besar kepada PAS untuk menang.

Menurut Hasni, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Saya kata terus terang kepada mereka, di Johor kita dengar cerita perbincangan dengan PN akan beri ruang untuk PAS tanding 15 daripada 26 kerusi negeri. Itu banyak.

“Saya beritahu, secara terang, (ia bakal menyebabkan PAS) akan kalah semua kerusi seperti tahun-tahun sebelumnya,” kata Hasni.

Beliau berkata, sewaktu Umno dan BN lemah dan sehingga tewas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, PAS hanya menang satu kerusi DUN Bukit Pasir dalam pemilihan itu.

Kemenangan tunggal PAS itu pula hanya disebabkan kesilapan teknikal lawannya Bersatu waktu itu, katanya lagi.

“Kita menang 19 (kerusi). (Kemenangan PAS) kerana berlakunya kesilapan teknikal. Calon Bersatu tak layak, pengundi mengundi asalkan bukan Umno maka PAS dapat di Bukit Pasir.

“Kebiasaannya PAS kosong tak diwakili dalam DUN,” katanya.

Tambah Hasni, Umno Johor juga memberi jaminan PAS mampunyai peluang lebih cerah jika bersama mereka dalam satu pasukan menghadapi PRU15.

“Saya juga beri jaminan kepada presiden dan timbalan presiden PAS. Kalau bersama kita, walau tak banyak kerusi dipertimbang, PAS boleh menang di Johor,” katanya.

Sehubungan itu, barisan pemimpin tertinggi Umno harus memberi ruang mereka bergerak mengikut corak sendiri untuk menjamin kemenangan tersebut.

“Bagi autonomi kepada Johor, biar kami rancang bagaimana untuk lemahkan Bersatu di Johor.

“Ini kerana pengerusinya (Bersatu), yang juga perdana menteri akan membawa segala bentuk kekuatan, keupayaan yang ada untuk memastikan beliau dan partinya terus berkuasa di negara ini.

“Bagilah tanggungjawab kepada kami pikul tugas dan tanggungjawab itu,” kata Hasni.

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman juga semalam mengumumkan parti itu sedia mengorbankan sehingga 24 kerusi untuk ditandingi PAS bagi memastikan kerjasama dengan parti Islam itu kekal.

Pujukan agar PAS kekal bersama Umno itu digiatkan sewaktu parti tunjang BN tersebut  menetapkan pendirian memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum kelak. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen