KEDUTAAN China di Zimbabwe memulakan program “spring sprout” untuk memudahkan masyarakat Cina di negara itu disuntik vaksin Covid-19, hari ini.
Zhang Lijun yang menetap di sana selama lebih 20 tahun merupakan antara penerima suntikan vaksin keluaran China itu.
Menurutnya, sebaik sahaja mengetahui program vaksinasi sudah bermula, beliau segera membuat temu janji secara dalam talian dan selepas menerima suntikan beliau tidak mengalami sebarang ketidakselesaan.
Zhang menyifatkan dirinya bertuah kerana memperoleh manfaat daripada progam “spring sprout” itu dan berbangga dengan keprihatinan pihak kedutaan.
Pasukan perubatan China kumpulan ke-18 yang sedia berada di Zimbabwe, turut hadir membantu melaksanakan program imunisasi Covid-19 itu.
Ketua pasukan itu, Luo Weiqiang berkata, pihaknya terlebih dahulu akan melakukan saringan terhadap mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi sebelum disuntik vaksin.
Pasukan itu turut menyusun pelan kecemasan untuk menangani sebarang kemungkinan berlaku masalah alahan pada individu disuntik.
Dilaporkan, seramai 160 rakyat China yang bermastautin di Zimbabwe menerima suntikan pada hari ini.
Suntikan akan diberi kepada 300 hingga 500 perantau China setiap hari pada fasa seterusnya. – Bernama, 28 Mac, 2021.
Komen