Shamsul Anuar sedia lepas jawatan menteri jika Umno arah


Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata beliau sedia melepaskan jawatan sekiranya diarahkan oleh parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2021.

SALAH seorang menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) Shamsul Anuar Nasarah menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sekiranya diarahkan parti.

Menteri tenaga dan sumber asli itu berkata setakat hari ini Umno bagaimanapun masih belum mengeluarkan arahan agar ahli parti melepaskan jawatan lantikan dalam kerajaan PN.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, beliau akur sekiranya parti mengarahkan sedemikian.

“Keutamaan adalah agenda parti… untuk kita beri isyarat kepada ahli dan rakyat, Umno adalah parti berprinsip yang berpegang kepada keutamaan memastikan agenda parti dipertahankan.

“Setakat ini parti belum buat keputusan. Sebagai pemimpin saya secara peribadi akan patuh dan akur keputusan parti. Sebagai pemimpin kita tak boleh ada agenda sendiri,” tegasnya.

Beliau mengulas saranan daripada penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan sedemikian bagi mematuhi pendirian MKT Umno untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

Malah, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan keputusan itu maka semua ahli Umno perlu lepaskan jawan menteri, timbalan menteri dan juga dalam syarikat kerajaan, katanya.

Shamsul antara 14 pemimpin Umno yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Selain beliau, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob (Bera) pula dilantik menjadi menteri kanan pertahanan manakala Annuar Musa (Ketereh) di Kementerian Wilayah Persekutuan).

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad (Parit Sulong) kini menteri pengajian tinggi dan seorang lagi ahli MKT Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dilantik menjadi menteri belia dan sukan.

Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dilantik sebagai menteri luar negeri, manakala ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pula menjadi menteri sains.

Ahli Parlimen Kota Tinggi Halimah Mohamed Sadique dilantik menteri perpaduan negara, sementara Ahli Parlimen Tenggara Dr Adham Baba dilantik sebagai menteri kesihatan.

Lima timbalan menteri Umno pula antaranya Mastura Yazid (Kuala Kangsar) di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) dan Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) di Kementerian Dalam Negeri.

Tiga lagi Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Hamzah (Jasin) di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, serta Abdul Rahman Mohamad (Lipis) di Kementerian Pembangunan Luar Bandar).– 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen