Umno akan lawan PAS jika kekal bersama Perikatan, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye

Pengerusi lembaga penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah PAS perlu berundur dari PN sekiranya mahu kekal bekerjasama dalam MN bersama Umno.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

UMNO tiada pilihan selain menentang PAS dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya parti Islam itu memutuskan untuk kekal berada dalam Perikatan Nasional (PN), kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi lembaga penasihat Umno itu berkata, Umno tiada pilihan kerana parti Melayu itu sudah memutuskan untuk tidak bersama Bersatu, yang merupakan antara parti komponen PN bersama PAS.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sekiranya PAS mahu kekal bekerjasama dalam MN bersama Umno, parti Islam itu harus menarik diri dari PN.

“Kita akan lawan (PAS). Kalau PAS masih ada situ (PN) kita lawan, apa nak buat kalau dia ada dengan kita menerusi MN dia kena asing juga daripada PN kerana kita tidak bersama PN,” katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Tengku Razaleigh, Umno sudah menetapkan pendiriannya dan sekarang terserah kepada PAS pula untuk menyatakan sikap.

“Terpulang kepada PAS, kita bersikap bersama dia dalam MN tapi selepas kita buat keputusan tarik diri daripada PN, menteri kita akan berhenti daripada menjadi menteri, timbalan menteri,  pengerusi GLC (syarikat berkatan kerajaan) lantikan PN, kita tidak ada kena mengena dengan PN,” kata Tengku Razaleigh.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang hadir ketika perasmian perhimpunan agung Umno pagi tadi bagaimanapun enggan mengulas berhubung pendirian partinya. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen