Letupan bom di luar gereja Makassar


Polis Indonesia berkawal di sebelah kenderaan yang rosak selepas insiden letupan di luar sebuah gereja di Makassar, hari ini. – Gambar AFP, 28 Mac, 2021.

SATU insiden letupan berlaku di luar sebuah gereja di bandar Makassar, Indonesia pada Ahad, lapor media tempatan, yang disifatkan oleh seorang paderi sebagai serangan bunuh diri.

Bagaimanapun, punca letupan belum dapat disahkan dan polis masih tidak memberi respons berhubung permintaan untuk memberi ulasan.

Rakaman berita menunjukkan kereta berhampiran gereja rosak ketika polis mengepung kawasan itu.

Letupan di gereja Katolik utama di bandar itu berlaku sejurus selepas perhimpunan Ahad selesai, kata seorang lelaki merupakan paderi kepada Metro TV.

“Kami sudah selesai beribadah dan orang lain beransur pulang ketika ia berlaku,” katanya yang dikenali dengan nama pertamanya Willem.

Paderi berkata seseorang cuba mengalang “pengebom bunuh diri” daripada memasuki gereja, sambil menambah kira-kira 10 orang cedera.

Gereja sering menjadi sasaran ekstremis di Indonesia di negara dengan majoriti penduduk Islam terbesar di dunia.

Pada 2018, belasan orang maut apabila pengebom meletupkan diri di beberapa gereja semasa perhimpunan Ahad di bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya. – AFP, 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen