Kerajaan Perikatan paling tak stabil di dunia, kata Ahmad Maslan


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata pentadbiran PN menyebabkan politik negara menjadi tidak stabil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

KERAJAAN pimpinan Perikatan Nasional (PN) paling tidak stabil di dunia waktu ini kerana sokongan wakil rakyat berubah setiap hari, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Buat julung kalinya juga, pentadbiran PN menyebabkan politik negara menjadi tidak stabil, katanya ketika membentangkan penyata setiausaha agung dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini.

“Kali pertama politik negara ini amat tidak stabil. Kerajaan ini adalah yang paling tidak stabil dalam seluruh dunia.

“Pimpinannya sentiasa membilang sokongan ahli Parlimen hampir pada setiap hari khuatir ada mereka yang menarik diri,” kata Ahmad.

Tambahnya PN juga hanya berjaya membentuk kerajaan disebabkan sokongan paling besar dari blok ahli Parlimen Umno walaupun parti Melayu itu bukan parti komponennya.

“Kali pertama dalam sejarah negara kita pada Februari dan Mac 2020, pertukaran kerajaan berlaku bukan secara pilihan raya.

“Dan ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah yang paling ramai dalam kerajaan campuran BN, PN, GPS, GRS ini,” kata Ahmad.

Ahmad dalam pembentangannya turut mengkritik PN kerana masih gagal mengadakan persidangan Parlimen, walaupun Yang diPertuan Agong menitahkan persidangan boleh berjalan sewaktu darurat.

“Kali pertama darurat diisytiharkan di negara ini atas sebab kesihatan. Namun Yang DiPertuan Agong telah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang tetapi sidang Parlimen masih belum juga diadakan,” katanya.

Dalam pembentangan itu Ahmad berkata, keahlian Umno bertambah seramai 127,214 sejak 9 Mei 2018 hingga 26 Mac lalu.

Ia menjadikan jumlah ahli Umno terkini ialah seramai 3,359,368 orang sementara bilangan cawangan Umno berjumlah 21,883 cawangan di 191 Bahagian.

“Ini menjadikan Umno masih kekal sebagai parti politik yang terbesar dengan bilangan ahli paling ramai di Malaysia,” katanya lagi.

Majlis Kerja Tertinggi parti itu sudahpun memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan parti tunjang dalam PN, Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Keputusan itu bakal disahkan perwakilan dalam perhimpunan agung yang berlangsung.

Setakat ini dua ahli Parlimen Umno, Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazln Yaakub (Machang) mengesahkan mereka menarik diri daripada menyokong PN.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh pula menyokong agar sokongan ke atas perdana menteri dibuktikan dalam sidang parlimen melalui undian. – 28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen