PINDAAN Perlembagaan membenarkan anak muda berusia 18 tahun mengundi dan pendaftaran automatik pengundi pada usia 18 tahun diluluskan pada 16 Julai 2019 dengan lebih dua pertiga undi di Dewan Rakyat.
Itu adalah detik bersejarah kepemimpinan bagi dua belah pihak politik.
RUU Undi18, yang secara rasmi dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mendapat 211 sokongan. Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi.
Dengan lulusnya RUU itu bermaksud Fasal 119 (1), Fasal 119 (4) dan Fasal 47 dan Jadual Kelapan dipinda bagi membolehkan anak muda berumur 18 tahun mengundi dan secara automatik didaftarkan sebagai pengundi, selain membenarkan mereka bertanding sebagai calon dalam Dewan Negeri atau Parlimen.
Akta tersebut kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara pada 25 Julai, 2019, dan diwartakan pada 10 September, 2019, setelah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Ketika itu, RUU yang diluluskan itu akan membolehkan 7.8 juta orang muda berusia antara 18 dan 21 tahun mengundi dan layak untuk mencalonkan diri dalam pilihan raya, dengan dimasukkan dalam daftar pengundi.
Walaupun sudah dua tahun sejak RUU itu diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen, undang-undang lain berkaitan pilihan raya belum diubah bagi memungkinkan pengundian pada umur 18 dan juga pendaftaran automatik pengundi, kerana Parlimen ditangguhkan akibat darurat memerangi pandemik Covid-19.
Walaupun ada tekanan daripada ahli politik kedua belah pihak untuk melaksanakan Undi18, semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Undi18 hanya akan dilaksanakan pada 1 September tahun depan, dengan alasan sekatan pergerakan untuk memerangi penularan Covid-19.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga menafikan dakwaan kerajaannya takut melaksanakan Undi18, dengan berkata kerajaan bersikap bersifat realistik dalam pelaksanaannya.
Walaupun mendapat sokongan bipartisan untuk membenarkan anak muda 18 tahun mengundi, beberapa ahli politik yang secara terbuka menyokong langkah itu dan memilih untuk meluluskan RUU Undi18 kini melaungkan nada berbeza pula.
The Malaysian Insight memerhati apa yang mereka katakan dahulu dan sekarang:
* Mohamed Azmin Ali, Bersatu, sebelum ini bersama PH dan sekarang menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti)
17 Julai 2019
“Ini (Undi18) akan menjadi puncak politik Malaysia Baharu dan memberi keutamaan kepada politik matang, progresif dan konstruktif yang berpaksikan rakyat.
26 Mac 2021
“Tidak ada siapa berjanji pilihan raya berikutnya akan diadakan pada 2020 atau 2021.
“SPR telah berkata adanya penundaan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) jadi jangan salahkan kami atas penundaan itu.
“Perikatan Nasional menyokong sumbangan besar anak muda terhadap demokrasi.”
* Takiyuddin Hassan, PAS, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
9 Julai 2019
“Kami sedang menunggu pembentangan pindaan pada 16 Julai, jika kerajaan penuhi tiga syarat tambahan kami sokong, jika tidak, pembangkang akan kemukakan usul sendiri.
“Kami akan berdebat terlebih dahulu sebelum sokong, bukan terus sokong tanpa debat. Pembangkang menyambut baik pindaan ini. “
3 November 2020 (dalam jawapan bertulis Parlimen)
“Diharapkan semua persiapan akan selesai dalam 18 hingga 24 bulan dari tarikh persetujuan Senat pada 25 Julai tahun lalu.
“SPR adakan beberapa sesi bertemuan dengan jabatan dan agensi kerajaan, parti politik dari pembangkang dan blok kerajaan, dan badan bukan kerajaan serta parti politik Sarawak dan Sabah.”
15 Mac 2021
“Kerajaan sebelum ini meminda Artikel 47 dan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan dan ketika itu diubah, SPR perlu ambil tindakan.
“SPR adalah suruhanjaya bebas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara ini.”
__full.jpg)
* Abdul Hadi Awang, presiden PAS dan ahli Parlimen Marang
14 Julai 2019
“Ini kesalahan kita bahawa pemuda tidak matang, bukan salah mereka.
“Banyak negara telah menurunkan usia mengundi menjadi 18, negara-negara bukan Islam telah menetapkan usia mengundi pada 18, kecuali Malaysia dan Singapura yang menetapkannya pada umur 21, di rantau ini.”
26 Mac 2021
“PAS bersetuju dengan penangguhan oleh SPR kerana penting untuk ada pengundi matang dalam daftar pemilih.
“Pengundian mesti bergantung pada kematangan. Ia boleh jadi pada usia 16 tahun, 18… malah mungkin berlaku ketika kamu umur 25 tahun. Ada sebilangan orang yang berumur 40 tahun, tetapi masih belum matang.
“Yang paling penting, kita mahukan rakyat yang matang yang akan memilih kerajaan yang matang. Jika rakyat tak matang, mereka akan memilih kerajaan yang tidak matang. “
* Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Bersatu, timbalan menteri belia dan sukan
5 Ogos 2019
“Orang muda juga harus membuktikan usia bukanlah ukuran kematangan dalam memberi sumbangan kepada negara. Oleh itu, tugas seterusnya menuntut kita menyediakan platform yang kukuh untuk mereka mengundi.
“Kami tidak mahu perubahan pada Perlembagaan ini dilihat sebagai tindakan populis oleh kerajaan, tetapi sebagai mekanik ke arah membangunkan sebuah negara yang lebih dinamis, seimbang dan inklusif.”
15 Februari 2021
Wan Ahmad Fayhsal Wan dilaporkan berkata di aplikasi Clubhouse, rakyat Malaysia tidak bersedia untuk mengundi pada usia 18 tahun.
Katanya, belia Malaysia tidak bersedia menggunakan hak mengundi kerana beberapa bentuk pendidikan politik perlu ditetapkan terlebih dahulu.
Sejak itu beliau berkata komennya telah disalah faham dan beliau menyokong sepenuhnya Undi18. – 28 Mac, 2021.
Komen