PAS lawan atau kawan, kata Asyraf Wajdi


Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Wanita Umno dilihat berehat dan bersembang di PWTC, Kuala Lumpur semasa Persidangan Agung Umno hari ini. Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi hari ini menggesa PAS memberikan pendirian bersama Umno atau tidak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2021.

KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa PAS segera menyatakan pendirian mereka sama ada parti Islam itu bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menentang Umno di kerusi mereka.

Beliau berkata, ini kerana Umno perlu mengenali yang mana lawan atau rakan yang menikam belakang mereka sebelum memasuki pilihan raya umum.

“Tapi kita harus tanya sahabat kita PAS, dengan pendirian Muhyiddin untuk bertanding semua kerusi-kerusi Umno, adakah mereka akan bersama kita atau sebaliknya,” katanya.

Asyraf berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sayap Pemuda Umno di PWTC, hari ini.

Katanya, Umno juga tetap akan memperkukuh dan mempertahankan gabungan MN yang disertai mereka bersama parti Islam itu.

“Persoalan kedua, ialah soal Muafakat Nasional (MN), kita dengan MN sehingga saat dan hari ini kita akan teruskan pertahankan dan perkasakan MN. 

“Kerana penting, sebelum masuk gelanggang perang kita kena tahu siapa musuh, siapa lawan, siapa kawan, kawan yang tak tikam belakang.

“Dalam konteks ini kita akan terus berusaha (perkukuh MN),” kata Asyraf.

Beliau juga menegaskan Umno tidak akan terhegeh-hegeh untuk terus bekerjasama dengan Bersatu, lebih-lebih selepas Muhyiddin mengeluarkan kenyataan mahu bertanding di semua kerusi Umno.

“Maknanya apa? Maknanya memang jelas, beliau sudah beri isyarat beliau tak akan kompromi kerusi-kerusi yang kita tak boleh kompromi.

“Beliau nak bertanding di semua kerusi-kerusi Umno. Dalam konteks ini adakah kita masih nak teruskan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” tegas Asyraf.

Muhyiddin memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu sekiranya Umno enggan berunding dengan melepaskan kerusi itu pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Bersatu tidak mempunyai halangan sekiranya Umno juga enggan bekerjasama dengan mereka.

“Lebih baik Umno ambil semua 222 kerusi Parlimen. Jika menang, bentuk kerajaan, tidak mengapa, tetapi kalau Umno ambil semua, saya pun hendak ambil semua.

“Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh… sebab ini politik.

“Tetapi saya tidak mahu sombongkan diri, nanti rakyat marah. Saya faham dengan kenyataan pemimpin Umno, ketika perhimpunan agung Umno kerana saya juga pernah ada di situ suatu masa dulu,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika sidang medianya di Pagoh, Johor, hari ini. – 27 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen