Simpanan  KWSP susut tanda masalah lebih besar, kata penganalisis


Bernard Saw

Awal bulan ini KWSP berkata, pengeluaran i-Sinar menyaksikan kira-kira 30% atau 1.6 juta anggota KWSP hanya mempunyai baki simpanan minimum RM100 dalam Akaun 1. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2021.

BERITA mengenai sekurang-kurangnyanya 30% pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menggunakan wang simpanan mereka melalui i-Sinar dan hanya berbaki RM100 merupakan tanda kepada masalah yang lebih besar, kata ahli ekonomi dan penganalisis.

Ada yang berkata ianya kerana sistem KWSP, sementara yang lain berkata pertumbuhan gaji yang perlahan mengakibatkan jumlah simpanan KWSP tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk persaraan yang baik.

Tricia Yeoh, ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), berkata KWSP sahaja bukanlah penyelesaian terbaik untuk pengurusan jangka panjang buat seseorang bersara.

“Sudah diketahui 70% anggota KWSP yang menarik diri pada usia 55 tahun telah menghabiskan dana persaraan mereka dalam tempoh 10 tahun.

“Malaysia harus mempertimbangkan pilihan lain selain KWSP dan pencen rasmi pegawai kerajaan bagi memastikan rakyat ada ketahanan baik pada tahun persaraan mereka,” kata Yeoh kepada The Malaysian Insight.

Pertama, Malaysia boleh buat skim insurans hayat kebangsaan yang serupa dengan skim di Singapura. Ini kerana perbelanjaan berkaitan perubatan merangkumi sebahagian besar perbelanjaan pesara di Malaysia.

“Negara kita telah membincangkan hal ini selama bertahun-tahun, tetapi belum berhasil menerapkannya.”

Untuk keselamatan persaraan yang lebih utuh, kerajaan juga perlu mengkaji semula sumber cukainya, tambah Yeoh.

“Asas cukai kita tak cukup. Ideas sebelum ini telah mengesyorkan pelaksanaan cukai keuntungan modal (yang Malaysia tak ada selain daripada harta tanah).”

Malaysia juga perlu meningkatkan keupayaan pengurusan kewangan dan simpanan sosial.

“Hutang isi rumah kita yang tinggi antara yang tertinggi di Asia. Kita perlu kurangkan budaya pemilikan rumah kerana membeli rumah bermaksud terikat dengan hutang 30 tahun.

“Sekiranya kamu tak ada hutang yang tinggi, dana KWSP mungkin cukup untuk bantu pesara.”

Yeoh juga mencadangkan pakej simpanan kewangan yang direka khas untuk komuniti B40 dan M40.

“Sebagai contoh, mungkin simpanan berjumlah RM50 atau RM100 sebulan, bukan simpanan bulanan besar yang mereka tidak mampu.”

Kemudahan i-Sinar diumumkan tahun lalu sebagai sebahagian daripada langkah-langkah untuk membantu mereka yang pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19. Pada Disember, kriteria permohonan dibuka untuk kumpulan pencarum KWSP yang lebih luas, atau 8 juta anggota.

Awal bulan ini, bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias ​​berkata pengeluaran melalui i-Sinar telah menyaksikan kira-kira 30% atau 1.6 juta anggota KWSP hanya mempunyai baki simpanan minimum RM100 dalam Akaun 1. Akaun ini bertujuan untuk dana persaraan.

Beliau juga berkata keprihatinan bahawa pengeluaran dari Akaun 2, yang dimaksudkan untuk perumahan, keperluan perubatan dan pendidikan, juga akan habis.

Beliau berkata KWSP akan meneruskan lebih banyak aktiviti dan kempen kesedaran bagi mendidik ahli tentang peri pentingnya simpanan persaraan. – 29 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen