Umno rela korban 24 kerusi untuk PAS, kata Tajuddin


Mohd Farhan Darwis Chan Kok Leong Hailey Chung Wee Kye Diyana Ibrahim

Pengarah pilihan raya Umno berkata ia bagi pastikan PAS kekal bersama selepas putus kerjasama dengan Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2021.

UMNO rela beralah dan menyerahkan sebilangan daripada 120 kerusi Parlimen yang ingin ditandingi sekiranya PAS kekal bersama Muafakat Nasional (MN), kata Tajuddin Rahman.

Pengarah pilihan raya Umno itu berkata, parti Melayu itu sanggup berkorban dan bertanding hanya 96 kerusi, menyerahkan baki 24 kerusi untuk ditandingi PAS.

PAS akan berpeluang menang lebih banyak kerusi jika bertanding di 24 kerusi majoriti Melayu itu, berbanding jika hanya kekal di 18 kerusi Parlimen yang dimenangi pada masa ini, katanya.

“Parti buat keputusan kita tanding tak kurang 120 kerusi. Parti mana tanding lebih daripada itu. Bersatu pun tanding tidak lebih 50 hingga 60 kerusi. PAS pun sama.

“Kalau PAS sedia bekerjasama dengan kita, kita (Umno) akan tanding 96 kerusi. Kita buat perincian daripada 96 kerusi ini mudah kita menang kalau bersama PAS.

“PAS pula akan menang lebih 18 kerusi yang ada,” kata Tajuddin.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian dalam ucapan sebelum penggulungan perbahasan sayap Puteri Umno di Kuala Lumpur.

Jelasnya, sekiranya PAS kekal bertanding dengan kerjasama melalui MN, mereka mampu menguasai bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.

Katanya, Umno sedia membuat konsesi tersebut untuk memastikan PAS kekal bersama, apabila tidak lagi bekerjsama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ini terpulang kepada PAS. Kita buat pendirian, ini pendirian parti, bukan pendirian Tajuddin. 

“Jangan ada pemimpin Umno kata itu bukan pendirian parti. Kita tolak Bersatu tapi kekal dengan PAS, kita mahu PAS bersama dalam MN,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu lagi. 

Namun begitu, Tajuddin berkata terpulang kepada PAS untuk memilih sama ada kekal dalam MN atau tidak.

Beliau turut mengingatkan PAS kedua-duanya sudah memeterai Piagam Muafakat Nasional yang mengikat kerjasama tersebut. 

“Kalau PAS lebih suka kerjasama dengan Bersatu tinggalkan kita, itu hak mereka untuk memilih.

“Kita harap PAS ingat lagi perjanjian, kita dah tandatangan piagam bersama sampai pilihan raya umum akan datang. 

“Kita harap PAS tak mungkir janji. Umno dah beri jaminan tak mungkir janji tetap mahu bersama PAS dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Tajuddin.

Tajuddin menambah, parti itu juga menjangkakan akan menang antara 70 hingga 80 kerusi, sama ada bersendirian mahupun bekerjasama dengan parti lain.

“Ringkasnya lepas pilihan raya umum akan datang tiada satu parti menang lebih daripada kerusi Umno, yakinlah, percayalah. 

“Berapa pun kemenangan kita, kita akan menang 70 hingga 80 kerusi. (Baki) daripada jumlah itu, kerusi itu dimenangi parti lain,” katanya.

Beliau juga memberi bayangan bilangan itu akan menjadikan Umno berhak mencorak kerajaan dengan mereka akan memimpin kerajaan.

“Kitalah yang akan bentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang.

“Sama ada kita tanding sendirian atau bersama, kedua pilihan ini boleh beri jaminan masa depan Umno bentuk kerajaan yang akan diwariskan kepada generasi muda,” kata Tajuddin lagi. – 27 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen