Exco Puteri Umno gesa putus hubungan dengan PAS


Mohd Farhan Darwis Hailey Chung Wee Kye Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Kerjasama dengan PAS perlu dikaji semula kerana parti Islam itu kini sanggup bersekongkol dengan pengkhianat parti, kata perwakilan Puteri Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2021. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2021.

HUBUNGAN kerjasama dengan PAS perlu dikaji semula kerana parti Islam itu kini sanggup bersekongkol dengan pengkhianat parti, kata perwakilan Puteri Umno.

Exco Puteri Umno Nurfadzlette Aryani Mat Rosli juga melihat, hubungan dengan PAS juga kini hambar selepas lebih setahun Piagam Muafakat Nasional (MN) dimaterai.

Malah, pemimpin PAS pula mula menyerang Umno, katanya yang berucap dalam persidangan Perhimpunan Agung Puteri Umno di Kuala Lumpur.

“Puteri juga mencadangkan supaya parti kaji semula hubungan dengan PAS yang mana pada awalnya bersedia jalin hubungan melalui MN.

“Tindakan PAS sertai PN sangat jelas melukakan hati kita. Sedarkah Pas tindakan mereka bersama PN adalah tindakan bersama pengkhianat parti kita,” katanya.

Nurfadzlette berkata, sepanjang tempoh itu Umno juga dapat melihat PAS tidak ikhlas dalam kerjasama kerana turut mengaut untung dalam kerjasama dengan Bersatu.

“Namun setahun setengah sudah berlalu, tapi situasi mula berbeza. Walaupun Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan baru bersama PN, hubungan MN dilihat semakin hambar.

“Pemimpin PAS mula mengkritik Umno walaupun bersama dalam MN. Ini sebabkan Umno lihat PAS main dua kolam tak setia pertahankan MN,” katanya.

Wakil Puteri Umno Gua Musang itu berkata, PAS juga pasti tidak mahu melihat Umno bekerjasama dengan parti serpihan mereka iaitu Amanah.

“Adakah PAS sanggup tinggalkan Umno demi kepentingan peribadi bukan kepentingan ummah, fikirlah pemimpin PAS

“Puteri mencadangkan agar parti wajar kaji semula hubungan dengan PAS. Sama ada PAS sedia bersama MN atau bersama Bersatu.

“Adakah PAS setuju kalau kita jalin hubungan dengan Amanah yang dikatakan mengkhianati perjuangan PAS suatu ketika dulu?” katanya.

Sedangkan, Piagam MN itu mencatat sejarah penting dalam perpaduan ummah katanya yang menyorot kembali saat piagam tersebut ditandatangani.

“Masih ingat lagi sahabatku dari PAS bilamana tanggal 14 Sept 2019 tercatat sejarah cukup penting bila dua parti Melayu, Umno dan PAS isytihar pembentukan MN.

“Di dewan Merdeka inilah kita semua berkumpul menitiskan air mata bilamana kita bawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan malaysia.

“Piagam ditandangani presiden Umno dan PAS, titik persaman Umno dan PAS bejaya meletakkan asas penting perlembagaan, kedudukan Islam, hak agama, bumiputera, bahasa kebangsaan dan masyarakat majmuk,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Khamis lalu menggesa agar kerjasama dalam Perikatan Nasional terus dipertahan bagi meneruskan agenda penyatuan ummah.

Dalam kenyataan disiarkan laman rasmi PAS itu, beliau juga turu menegaskan kerjasama politik tidak harus digunakan untuk menyelamatkan pemimpin tertentu sahaja.

Ia dipercayai merujuk kepada pelbagai tuduhan berat dihadapi para pemimpin dalam PN di mahkamah pada masa ini, terutama pemimpin Umno.

Dalam kenyataan yang memetik banyak potongan ayat al-Quran seperti lazimnya itu timbul sewaktu keretakan hubungan Umno dan Bersatu semakin meruncing. – 27 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen