UMNO tidak akan melepaskan kerusinya kepada parti lain, kata timbalan presidennya Mohamad Hasan.
“Umno tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi Umno. Kerusi Umno adalah kerusi Umno, dulu, kini dan selamanya. a bukan untuk dilepaskan demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak. Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan Umno,” katanya ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Azmin Ali baru-baru ini meminta Umno agar tidak bertanding di 15 kerusi Parlimen yang hilang selepas ahli Parlimennya berpaling tadah kepada Bersatu, dengan alasan demi perpaduan Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Mohamad berkata Umno mahu memimpin Malaysia sekali lagi selepas pilihan raya akan datang.
Parti itu merancang menggunakan pendekatan “bekerjasama dengan Barisan Nasional”.
“Ini akan menjadi slogan yang membuka pelbagai ruang bagi Umno untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik, tanpa perlu terikat dengan pelbagai konsensus politik, dan syaratnya yang sempit dan merugikan.”
Mat Hasan, yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata Umno tidak akan tertipu dengan retorik demi kepentingan negara dan perpaduan Melayu.
“Solidariti dan perpaduan orang Melayu mesti dipimpin oleh Umno.
“Ini bukan umpan undi yang ditaburkan oleh pembohong politik yang dilindungi oleh ‘kuasa tanpa mandat’ dan tanpa kuasa sebenarnya.”
Beliau mengakui demokrasi negara semakin merosot dengan ruang untuk kebebasan bersuara semakin kecil.
Beliau mengaitkan Parlimen sebagai entiti yang menegakkan demokrasi tetapi kini lumpuh dan perlembagaannya tidak ditegakkan.
“Ahli Parlimen memperjudikan mandat rakyat dengan sesuka hati demi kepentingan peribadi masing-masing,” katanya dan menggambarkan iklim politik ketika ini seperti dilanda “langkisau” (puting beliung).
“Mereka melompat dari satu kolam ke kolam lain tanpa malu, tanpa segan silu.
“Nampaknya negara kita dalam wabak ini memerlukan lebih banyak larangan rentas politik, bukannya larangan rentas sempadan,” kata Mat Hasan.
Perhimpunan agung Umno 2020 diadakan hari ini dan esok di PWTC selepas ditangguhkan lima kali kerana pandemik Covid-19.
Orang ramai boleh menyaksikan ucapan dan perbahasan di laman Facebook Umno atau laman web Umno Online. – 27 Mac, 2021.
Komen