Umno mesti dominan, kata Mat Hasan


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye

Belum ada petunjuk bahawa PH mahupun PN mampu menterjemahkan formula BN yang dilaksanakan dulu, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2021.

UMNO akan terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) kerana parti Melayu itu tidak dominan dalam Perikatan Nasional (PN), kata timbalan presidennya Mohamad Hasan.

Senario ini bagaimanapun memberi Umno kesempatan untuk mengetengahkan semula BN sebagai kerajaan pilihan rakyat.

“Walaupun Umno sebahagian daripada PN (Perikatan Nasional), namun peranan Umno sangat terpencil dan tidak dominan. Kita lebih tunduk dari bangun menjadi induk. 

“Ditambah pula dengan pendirian jelas Umno untuk tidak menyertai PN sejak awal dulu,” katanya ketika berucap pada perasmian persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno 2020, di Dewan Merdeka, hari ini.

Tambah beliau, prestasi BN selama 60 tahun sebagai kerajaan yang jauh lebih baik dan berjaya boleh dijadikan sandaran untuk meyakinkan rakyat memilih BN semula.

“Belum nampak sebarang petunjuk bahawa kerajaan politik, kerjasama politik seperti Pakatan Harapan mahupun PN mampu menterjemahkan formula BN yang kita laksanakan dulu.

“Jadi, rakyat boleh diyakinkan bahawa BN harus dikembalikan segera untuk memerintah dan mentadbir Malaysia.”

Menurutnya lagi, demi kestabilan politik di Malaysia rakyat mesti diyakinkan bahawa tiada kerajaan yang akan stabil tanpa sokongan parti Melayu terbesar seperti Umno.

“Kita bukan mahu mendabik dada, menyatakan hanya kita yang paling pandai, paling tahu semua perkara. Bukan itu maksud saya.

“Cuma, BN yang diterajui oleh Umno sebagai induk itu, ada kelebihannya tersendiri yang telah terbukti, malah yang cuba ditiru oleh orang lain tetapi gagal.

“Punca kegagalan mereka sebenarnya ialah, meminggirkan Umno sebagai parti terbesar Melayu, kita dipinggirkan,” katanya.

Adun Rantau itu juga menegaskan Umno mesti menjadi parti induk kepada pentadbiran negara.  – 27 Mac, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen