UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus merintis dan menerokai jalan memulihkan politik Malaysia, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Beliau menegaskan sekarang merupakan “zaman kebarangkalian dengan seribu kemungkinan” dan parti Melayu itu harus meneroka jalan pembaikan politik dengan terbuka dan berani demi masa depan Malaysia.
“Suka atau tidak, kita mesti mula menerima hakikat, bahawa sekarang ini adalah zaman kebarangkalian dengan seribu kemungkinan. Akan sampai waktu Umno, mesti meneroka pembaikan politik dengan terbuka dan berani.
“Maka demi masa depan Malaysia, Umno melalui BN, wajib meneroka semua kemungkinan yang wujud untuk dimanfaatkan.
“Jadi, berbekalkan keanjalan yang Umno dan BN ada ini, ia memungkinkan kita untuk ‘memeta pembaikan politik’, atau ‘political correctness’ yang baharu dan strategik,” kata Mohamad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan sayap-sayap Umno di PWTC, hari ini.
Mohamad berkata, BN yang diterajui oleh Umno sebagai induk itu, ada kelebihannya yang tersendiri, yang telah terbukti, malah yang cuba ditiru oleh orang lain namun gagal.
Katanya, mereka gagal kerana meminggirkan Umno sebagai parti terbesar Melayu.
“Justeru, demi kestabilan politik di Malaysia, rakyat harus diyakinkan bahawa, tidak ada kerajaan yang akan stabil tanpa sokongan parti Melayu terbesar dan tidak ada parti Melayu yang mempunyai pengaruh dan kesederhanaan seperti Umno.
“Mungkin ramai yang menyoal. Bagaimana BN akan memerintah kalau hanya dengan empat parti komponen?
“Jawapan saya mudah. Umno dan BN ini adalah entiti politik. Ia hidup, dinamik dan progresif. Ia senantiasa terbuka dengan segala rumus baharu dalam politik,” katanya.
Beliau berkata, Umno bukan entiti pegun, yang tidak berevolusi sebaliknya merek sedar perubahan itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
“Kenapa saya menganjurkan kesediaan untuk melakukan pembaikan politik atau political correctness ini?
“Pertama, kerana kita sedang berada dalam era ‘disruption’ dan ‘survival mode’ yang mana era ini menuntut kita keluar dari zon selesa dan melepaskan diri dari sebarang kejumudan pendekatan politik, yang selama ini membelenggu kita,” katanya.
Mohamad sehubungan itu berkata, telah tiba masanya untuk Umno meneroka, jalan progresif dengan memikirkan percaturan serta pembaikan politik yang lebih sesuai zaman,” katanya lagi. – 27 Mac, 2021.
MENYUSUL
Komen