BERSATU dan bekas pemimpin PKR yang belot tidak berhak bercakap mengenai perpaduan ummah kepada Umno ketika kelangsungan parti itu sedang tergugat, kata Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini.
“Kepada parti serpihan (Bersatu) yang masih baharu, jangan berbicara kepada Umno mengenai perpaduan Melayu-Islam sedangkan anda tidak mempunyai rekod menyatukan orang Melayu atau rakyat Malaysia.
“Jangan bangkitkan perkara ini apabila anda hanya tahu memancing dan mengutip mereka yang bersedia meninggalkan parti,” kata timbalan presiden Umno ketika merasmikan PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini .
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, Bersatu dan pemimpin PKR yang belot bercakap mengenai perpaduan Melayu hanya demi agenda mereka sendiri.
“Mereka hanya bercakap mengenai perpaduan Melayu-Islam ketika kelangsungan politik mereka terancam.
“Lebih menjelikkan lagi adalah mereka yang meninggalkan PKR dan sekarang tanpa malu-malu bercakap mengenai perpaduan Melayu sedangkan mereka tidak pernah membangkitkan perkara itu sebelum ini,” kata Mohamad.
Mohamad tidak menyebut sebarang nama dalam ucapannya, tetapi ia merujuk kepada pembelot PKR termasuk bekas timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali yang kini bergabung dengan Bersatu selepas bersekongkol dengan parti itu dalam Langkah Sheraton setahun lalu yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Azmin, yang kini menjadi ketua penerangan Perikatan Nasional (PN), baru-baru ini mencadangkan agar Umno mempertimbangkan memberi Bersatu 15 kerusi yang ahli Parlimennya berpaling tadah kepada parti itu pada pilihan raya akan datang demi kesatuan Melayu-Islam.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Hasan berkata pihak seperti itu membangkitkan isu perpaduan Melayu-Islam seolah-olah berada dalam situasi kritikal.
“Pada saya, kedudukan perpaduan orang Melayu tidaklah terlalu meruncing, sesekali sudah pasti ada sedikit kocakan di sana sini. Itu dah lumrah, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.
“Tetapi secara umumnya perpaduan orang Melayu sebenarnya semakin mengukuh semenjak Umno dan PAS menerokai jalan perpaduan orang Melayu,” kata ketua bahagian Umno Rembau.
Beliau berkata isu perpaduan Melayu-Islam tidak boleh dilihat dari sudut politik semata-mata kerana dua parti Melayu terbesar, Umno dan PAS, hanya mempunyai 4 juta ahli.
“Terdapat berbelas juta lagi orang Melayu di luar sana yang tidak berparti, tidak menyertai Umno, tidak menyertai PAS, apatahlagi menyertai Bersatu.
“Jadi, seruan kepada perpaduan ummah mestilah dibaca dalam konteks lebih besar. Ia mesti benar-benar bertujuan menyatupadukan orang Melayu merentasi ideologi politik, merentasi kepentingan kuasa dan status sosial.”
Mohamad berkata Umno mempunyai rekod bukan hanya menyatukan orang Melayu tetapi juga bangsa lain, bermula dengan memperjuangkan kemerdekaan.
“Dan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Umno sekali lagi menyatukan semua kaum.”
Menurut Mohamad, Umno menyatukan semua rakyat sekali lagi setlepas parti itu diisytiharkan tidak sah pada 1988 dan memecat timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pada 1997.
“Dan selepas kalah pada 2018, Umno menghulurkan tangannya kepada PAS untuk membentuk Muafakat Nasional.”
Oleh itu, Mohamad berkata parti lain tidak boleh mempersoalkan rekod Umno menyatukan orang Melayu atau negara apabila diperlukan. – 27 Mac, 2021.
Komen