PAS setuju tangguh pelaksanaan Undi18


Noel Achariam

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata hak untuk mengundi harus bergantung pada kematangan seseorang dan bukan usia mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2021.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata parti itu bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan Undi18 sehingga September 2022.

Ahli Parlimen Marang itu berkata hak untuk mengundi harus bergantung pada kematangan seseorang dan bukan usia mereka.

“PAS bersetuju dengan penangguhan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kerana penting untuk memilih pengundi yang matang dalam daftar pemilih.

“Undi bergantung pada kematangan. Ia boleh berlaku pada usia 16 tahun, 18 tahun, bahkan boleh berlaku ketika berusia 25 tahun.

“Ada sebilangan mereka yang berusia 40 tahun tetapi masih belum matang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuala Terengganu. 

Hadi memberi maklum balas selepas SPR semalam mengumumkan pelaksanaan Undi18 akan ditangguhkan sehingga September 2022.

SPR berkata persediaan ke arah pelaksanaan itu masih dijalankan tetapi terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Tarikh baharu pelaksanaan adalah lebih setahun dari jadual asal yang dijanjikan oleh Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan yang mengatakan ia akan selesai menjelang Julai tahun ini.

Pengumuman SPR menimbulkan ketidakpuashatian orang ramai termasuk di Twitter apabila mereka meluahkan rasa marah terhadap suruhanjaya dan kerajaan Perikatan Nasional dengan menggunakan tanda pagar #PNipu bagi menyatakan pakatan pemerintah itu sebagai pembohong.

Hadi berkata penangguhan berkenaan tidak memberi kesan kepada parti Islam itu.

“Yang penting, kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.

“Jika rakyat belum matang, mereka akan memilih kerajaan yang tidak matang,” katanya. – 26 Mac, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen