Tangguh Undi18: Jangan lacurkan maruah Parlimen


APAKAH nasib dewan yang mulia Parlimen Malaysia sebagai badan tertinggi lagislatif dalam negara di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Pada 24 Februari 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah menasihatkan agar Parlimen boleh diadakan dalam perintah darurat.

Namun kenyataan Takiyuddin Hassan pada 3 Mac 2021 mendakwa tiada keperluan dewan untuk bersidang pada ketika ini.

Bahkan Takiyuddin menyatakan sekali lagi dalam kenyataan beliau pada 21 Mac 2021 mengambil contoh - yang jelas sekali latar belakangnya berbeza - yangdewan tidak bersidang selama dua tahun pada masa darurat 1969.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya pula menyatakan proses undi 18 hanya akan terlaksana selepas September 2022.

Sedangkan dewan rakyat serta dewan negara pada Julai 2019 telah meluluskan perlaksanaan ini.

Saya ingin bertanya, apa sudah jadi dengan Parlimen kita? Apakah parlimen sudah mula hilang fungsi bawah pentadbiran kerajaan PN?

Hal ini ibarat satu pengkhianatan terbesar terhadap institusi legislatif negara kita.

Tindakan seumpama ini akan menghakis demokrasi dan membawa negara kita terkebelakang di mata dunia.

Amaran saya, kerajaan PN jangan lacurkan maruah dewan yang mulia Parlimen Malaysia.

Tindakan menangguhkan perlaksanaan undi 18 juga tidak pro anak muda sama sekali.

Ia adalah satu penafian terhadap usaha untuk menyegerakan penglibatan anak muda dalam proses demokrasi negara menerusi pilihan raya. – 26 Mac, 2021.

* Sheikh Umar Bagharib Ali adalah Adun Paloh dan ketua Pemuda DAP Johor

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen