PENYAKIT tidak berjangkit (NCD) dibimbangi akan meningkat susulan penurunan ketara pemeriksaan awal semasa pandemik Covid-19, kata doktor.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Profesor Dr Subramaniam Muniandy berkata meski tidak ada data konkrit daripada sektor awam dan swasta tetapi penurunan jumlah pemeriksaan kesihatan sudah terbukti.
“Dari apa yang dapat kita lihat, orang ramai dan keluarga secara umum mengelak tempat yang sesak, dan ini termasuk hospital serta klinik,” katanya.
Tetapi temujanji untuk saringan dan pemeriksaan kesihatan semakin meningkat apabila ramai orang mulai terdidik mengenai Covid-19 dan bagaimana penyakit itu menular.
“Prosedur operasi standard (SOP) sedang dikaji dan kami melihat ramai orang mula datang melakukan pemeriksaan perubatan.
“Kami percaya wabak ini merupakan satu kesedaran untuk ramai rakyat Malaysia mengutamakan kesihatan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Thomsan Hospital Kota Damansara Nadiah Wan juga melihat adanya pemulihan dalam pemeriksaan kesihatan yang kebanyakannya adalah pesakit dewasa berusia 30 hingga 70 tahun.
“Pandemik ini memburukkan lagi masalah terutama bagi mereka yang sudah tidak bersedia menjalani rutin pemeriksaan perubatan atau mendapatkan apa-apa campur tangan perubatan sebelum ada gejala.
“Selain itu persekitaran ekonomi yang mencabar juga akan mempengaruhi kesediaan pesakit untuk menghabiskan rawatan pencegahan,” katanya.
Pakar Perunding dan Pakar Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway Dr Teoh Wei Leng berkata mereka mungkin akan berdepan peningkatan serangan jantung dan strok pada tahun mendatang.
“Pada era pasca-pandemik, dengan penurunan pemeriksaan kesihatan, kita mungkin berdepan peningkatan jumlah pesakit diabetes, darah tinggi dan kolestrol tinggi yang tidak dirawat.
“Ini adalah faktor risiko yang menyebabkan berlakunya serangan jantung dan strok,” katanya.
Orang ramai berpendapat bahawa temujajanji mereka tidak penting memandangkan wabak yang berlaku, tambah Teoh.
“Mungkin ada pesakit yang berdepan gejala lain seperti penurunan berat badan atau gejala barah lain yang menunda lawatan mereka ke hospital.
“Dalam kes seperti itu, mungkin juga ada penundaaan dalam diagnosis barah yang dapat mempengaruhi pengurusan sakit barah mereka,” katanya.
Beliau menambah bahawa telemedicine atau teleperubatan dapat merapatkan jurang kehadiran pesakit luar di hospital yang lebih rendah.
“Dengan kemajuan teknologi yang lebih maju, kita akan dapati lebih banyak rundingan dapat dilakukan melalui telemedicine.
“Ini dapat menjimatkan masa pesakit terutama mereka yang tidak dapat meluangkan masa untuk berjumpa doktor,” katanya.
Dr Michael Jeyakumar Devaraj, penasihat bersama Forum Kesihatan Rakyat (PHF) Malaysia, berkata bahawa komplikasi dan kematian disebabkan oleh kes bukan Covid-19 telah meningkat.
“Ini sangat membimbangkan. Hospital kerajaan tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan kecuali jika terdesak, yang mana merupakan tindakan adil ketika pandemik.
“Mendapatkan vaksin tidak hanya penting untuk mencegah virus Covid-19 tetapi juga agar pesakit dengan NCD dapat mendapatkan rawatan yang tepat dan susulan dengan segera,” katanya. – 26 Mac, 2021.
Komen