Tak perlu adu isu kartel pada SPRM, kata Hamid Bador


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 17 Mac lalu mendedahkan, gerakan berkenaan terdiri dari kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Mac, 2021.

TIADA keperluan untuk mengadukan isu kewujudan kartel dalam pasukan polis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, situasi yang berlaku dalam PDRM itu masih dalam keadaan terkawal.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini bahawa isu berkenaan terkawal dan saya sudah berbincang dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung perkara itu.

“Tidak perlu sampai ke situ (melaporkan kepada SPRM) kerana tindakan akan diambil,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau amat menghargai reaksi pihak luar terutama orang ramai berhubung isu berkenaan.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya isu rasuah dan salah laku dalam kalangan pegawai polis.  

“Budaya ini yang saya nak tekankan dan inilah masanya. Saya tidak malu untuk mengaku bahawa ia berlaku kerana kalau malu sampai bilapun takkan berubah,” katanya.

Abdul Hamid pada 17 Mac lalu mendedahkan, gerakan berkenaan terdiri dari kalangan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkannya.

Abdul Hamid mendakwa gerakan itu juga adalah kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM dengan hasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Ia disebut beliau sewaktu muncul dalam satu program bual bicara yang disiarkan langsung di media sosial.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi, antaranya dari Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang meminta beliau melaporkannya kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.

Pertubuhan sivil dan para ahli Parlimen pembangkang juga menggesa SPRM memulakan siasatan ke atas dakwaan berkenaan dan menuntut Abdul Hamid menjelaskan lagi tuduhannya. – 24 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen