Tiada bukti JI dapat pengaruh di Sabah, kata polis


Afif Abd Halim Alfian Z.M. Tahir

Polis Indonesia menjalankan serbuan ke atas kediaman suspek Jemaah Islamiyah di Jawa Tengah. Unit Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism PDRM berkata tiada bukti kumpulan terbabit meluaskan pengaruhnya di Sabah. – Gambar EPA, 25 Mac, 2021.

POLIS tidak mendapat sebarang petunjuk yang Jemaah Islamiah (JI) perkukuh kedudukannya di Sabah,” kata Penolong Pengarah Unit Cawangan Khas Bahagian Counter Terrorism Azman Omar.

Beliau memberitahu sebuah forum mengenai ancaman ekstremisme ketika pandemik Covid-19 bahawa tiada bukti risikan yang kukuh menunjukkan bahawa JI telah menghidupkan kembali pengaruhnya di Sabah.

“Tiada bukti yang menunjukkan JI kembali di Sabah walaupun pemimpinnya Abu Bakar Bashir sudah keluar dari penjara.

“Bagaimanapun kita memantau bekas ahli JI yang telah dibebaskan. JI aktif pada awal tahun 2000 tapi bukan sekarang. Tiada risikan menunjukkan wujud gerakan itu,” kata Azman pada forum anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia.

Februari lalu, Pesuruhjaya polis Sabah Hazani Ghazali berkata Sabah boleh melihat serangan sama seperti pengeboman Bali pada 2002 dan serangan di hotel JW Marriot di Jakarta sekiranya tiada tindakan diambil untuk mengekang aktiviti JI di negeri itu. 

Pengeboman sebuah kelab malam di Bali mengorbankan 202 nyawa manakala seranngan di Jakarta meragut 12 nyawa. 

Ahli kumpulan ekstremis berkenaan kemudian disabitkan kesalahan. 

Antara 2014 dan 2020, 83 individu yang disyaki terlibat dengan JI ditahan di Sabah.

Daripada jumlah itu, 38 adalah warga tempatan, 39 warga Filipina dan lapan warga Indonesia.

Bagaimanapun Azman mengakui bahawa JI merupakan kumpulan terancang berbanding Negara Islam (IS).

“JI lebih bahaya berbanding IS. Mereka juga lebih terancang. Mereka mampu melancarkan serangan pada skala besar,” tambahnya. 

Pada Januari, Amerika Syarikat memfailkan pendakwaan terhadap militan Indonesia dan dua warga Malaysia yang terlibat dengan pengeboman Bali dan serangan di Jakarta pada 2003. 

Pendakwaan difailkan hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga mereka ditahan di Thailand dan selepas mereka menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba. 

Pendakwaan pertama melibatkan militan Indonesia Riduan Isamuddin atau lebih dikenali sebagai Hambali, yang memimpin kumpulan Jemaah Islamiah Indonesia dan dipercayai merupakan wakil tertinggi Al-Qaeda di rantau ini. 

Warga Malaysia – Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin – merupakan orang kanan Hambali dalam Jemaah Islamiah yang pernah menjalani latihan dengan Al-Qaeda, menurut dokumen kes Guantanamo. – 25 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen